Siapa sebenarnya yang bersihkan Melaka?

Siapa sebenarnya yang bersihkan Melaka?

Merekalah 'hero' yang tidak didendang. Hargailah jasa khidmat perkhidmatan mereka..

MELAKA negeri kelahiran Laksamana Hang Tuah dan lima bersaudaranya yang lain terkenal dengan nilai sejarah dan warisan yang dimiliki.

Ia dibuktikan melalui kehadiran jutaan pengunjung dari luar dan dalam negara yang kerap membanjiri negeri ini pada hujung minggu.

Katakan apa saja, bermula dari lokasi pelancongan di A’famosa hingga ke sektor makanan makanan klasik, asam pedas sampai ke makanan moden berkonsepkan ‘hispter’, semua ada di sini, hinggakan ada kalanya beberapa sub sektor lain turut merasai limpah ekonomi pelancong hasil gerakan kerajaan negeri meletakkannya sebagai nadi ekonomi negeri.

Selain dari aspek pelancongan yang sentiasa menarik perhatian, kebersihan negeri ini juga memainkan peranan penting sebagai antara penggerak kerancakkan pelancongan. Siapa nak melawat jika sesebuah destinasi itu penuh dengan sampah sarap yang memenuhi setiap kawasan?

Sukar sebenarnya melihat sampah sarap di Melaka, terutamanya di kawasan pelancongan, tidakkah ia sudah pun memberikan gambaran yang Melaka ini sebenarnya bersih dan tidak selari dengan apa yang digambarkan sebahagian pihak di media sosial?

Namun, dengan kebersihan yang terjaga rapi, persoalan yang jarang ditanya, siapa yang menjaganya?

Ikuti temubual bersama beberapa pekerja Syarikat konsesi pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Melaka yang bertungkus-lumus memastikan negeri ini kekal menggamit perhatian pelancong.

 

CABARAN BERKHIDMAT DALAM BIDANG PEMBERSIHAN

Dilahirkan di Melaka, anak ketiga dari enam beradik ini memilih untuk berkhidmat dalam bidang pembersihan kerana minat yang mendalam selain mencari rezeki yang halal.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran Zaiton Abd. Latip, 51 yang telah berkhidmat lebih 14 tahun di SWM Environment lebih gemar menggunakan konsep penjagaan alam sekitar sebagaimana kaedah pembersihan dirumah.

“Tak ramai yang melihat kerja di bahagian pembersihan ini sebagai pekerjaan, tetapi bagi saya, kalau bukan kita siapa lagi yang nak jaga.

“Lagipun, apa yang saya buat sekarang adalah kerana minat dan disiplin yang telah dididik sejak kecil, mak saya juga pernah bekerja sebagai tukang sapu dan saya banyak belajar dari situ.

“Pernah kerja di beberapa industri lain, tetapi tak kena dengan apa yang dimahukan sebelum saya memilih bidang ini untuk mencari rezeki,” katanya yang menyelia 20 pekerja di kawasan Pusat Bandar.

 

14 TAHUN BERKHIDMAT, SUDAH LALI DENGAN PERSEPSI MASYARAKAT

Menurut Zaiton, sepanjang 14 tahun kariernya bersama syarikat berkenaan, pandangan enteng dan cemuhan dari sebahagian masyarakat sudah lali didengarnya.

Jelasnya, perkara itu kadang kala terjadi ketika dia menegur pengunjung yang mengambil mudah soal kebersihan dan membuang sampah merata-rata, walaupun terdapat tong sampah berdekatan.

“Macam-macam pernah dilabelkan, antara itu tugas kita dan lain-lain, tetapi saya dah lali.

“Cuma bagi saya menjaga kebersihan bukan tugas saya seorang, ia perlu dilakukan secara berpasukan,” katanya yang juga merupakan ibu kepada tujuh anak.

 

KERJA KERANA MINAT

Bagi Mohd Shahrul Hisham Abd. Rashid, 40 pula dia memilih bidang pekerjaan ini kerana sikap ‘cerewet’ yang telah diperap dalam dirinya sejak kecil.

Anak sulung dari lima beradik ini yang telah berkhidmat selama dua tahun sebagai pemotong rumput menganggap permandangan kotor dipenuhi sampah sarap amat menyakitkan mata dan merasakannya sebagai tanggungjawab memastikan keadaan sentiasa bersih.

“Saya bab kebersihan ini ada cerewet sikit dan minat yang mendalam terhadap perkara itu yang mendorong saya memilih pekerjaan ini.

“Ia tidak mudah apatah lagi dengan kehadiran jutaan pelancong yang datang setiap minggu ke kawasan ini, tetapi bagi saya, setiap pekerjaan ada cabarannya yang penting kena ada minat,” katanya.

 

MOTIVASI DIRI JADI SUMBER INSPIRASI

Tetapi, bagi Abdul Rahim Tahir, 51 yang telah berkhidmat selama 10 tahun berkata, dia lebih gemar meletakkan dirinya sebagai sumber inspirasi kepada orang ramai dalam soal kebersihan.

Anak bongsu dari sembilan adik beradik itu lebih gemar menunjukkan apa yang perlu dibuat berbanding bercakap mengenainya.

Bertugas sebagai pengutip sisa pepejal di tong sampah sekitar pusat bandar, Abdul Rahim lebih rela memberi fokus terhadap pekerjaannya dengan harapan ia dijadikan teladan kepada generasi muda.

Pernah mengikuti lawatan ke Jepun pada 1992, Abdul Rahim berkata, situasi di negara ini amat berbeza, jika ingin dibandingkan dengan negara matahari terbit berkenaan.

“Sukar melihat tong sampah di sana, berbanding di sini, lagi pun di Jepun mereka meletakan setiap sisa pepejal yang dibuang itu adalah tanggungjawab mereka, tidak seperti di Malaysia.

“Mungkin atas sebab itu, saya lebih gemar menunjukkan apa yang perlu dilakukan berbanding menegur tingkah laku masyarakat tentang soal kebersihan.

“Walaupun ‘mata tak sedap ‘melihat keadaan yang kotor, tetapi ia satu cabaran, saya meletakkan standard yang tinggi terhadap diri sendiri dalam memastikan kawasan jagaan kekal bersih,” katanya.

Ketiga pekerja SWM Environment yang ditemui ini merupakan sebahagian dari ribuan pekerja pembersihan yang memainkan watak sebagai agen pembersihan di belakang tabir,umpama wira tidak didendang, tidak diminta untuk dipuji sebaliknya hanya komited melaksanakan tugas diberi.

Ditanya mengenai situasi kebersihan Melaka ketika ini ,ketiga-tiganya mengakui Melaka masih kekal bersih seperti dahulu.

Namun kesemuanya menyatakan pendirian sama iaitu didikan terhadap generasi muda perlu pergiat agar kesinambungan terhadap penjagaan kebersihan mampu diwarisi.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS