Si Tanggang mitos popular Nusantara

Si Tanggang mitos popular Nusantara

Sejauh mana kita berjaya sekalipun, jangan sesekali kita lupakan ibu bapa, apatah lagi menderhakai mereka...

KISAH¬† ‘Si Tanggang’ merupakan cerita lagenda rakyat Melayu yang sudah dikenali dengan sifat Si Tanggang yang disumpah menjadi batu kerana derhaka terhadap kedua ibu bapanya. Hampir setiap suku bangsa Melayu di Nusantara ini mempunyai ceritanya sendiri seperti Si Tanggang di Malaysia, Malim Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei.

Artikel ini akan menceritakan kisah Si Tanggang versi masyarakat Melayu. Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai. Kehidupan mereka amat miskin dan Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.

 

CUBA NASIB JADI ANAK KAPAL, BERJANJI PULANG KE KAMPUNG APABILA MENJADI KAYA

Apabila meningkat usia, Si Tanggang melihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib untuk mendapatkan kerja sebagai anak kapal. Nakhoda kapal itu bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Kedua ibu bapanya berasa keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Sepanjang bekerja di dalam kapal, Si Tanggang sangat rajin dan melukukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Daripada itu, Nakhoda sangat suka dengan Si Tanggang dan dijadikan sebagai anak angkat. Apabila nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru dan diberi gelaran sebagai Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia telah menjadi kaya raya dan terkenal hingga sampai ke telinga Sultan. Dia dijemput ke istana dan beberapa lama kemudian, dia mengahwini puteri raja tersebut.

Dia dan isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri dan pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Apabila ibu bapanya tahu akan perkhabaran tersebut, mereka pergi ke kapal Si Tanggang dan memanggil nama anaknya itu.

 

SI TANGGANG DERHAKA, DOA IBU ITU MUJARAB

Si Tanggang berpura-pura tidak mendengar dan tidak mengenali mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, lalu Si Tanggang mengatakan bahawa ibu bapanya telah tiada. Dia menghalau mereka dengan biadap. Setelah itu, ibunya mengangkat kedua-dua belah tangannya memohon doa untuk menunjukkan kebenaran yang sebenar.

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Dia berasa kesal dan sedar bahawa Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia berteriak memohon ampun kepada ibunya. Walau bagaimanapun, penyesalannya sudah tidak berguna. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang dan seluruh anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

Dengan konteks semasa pada hari ini, terdapat anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua, ibu bapa yang ditinggal tanpa penjagaan, dimarah, diherdik dan bermacam lagi penganiayaan dilakukan. Dapat dilihat bahawa nilai moral tiada dalam diri seseorang anak hingga sanggup berbuat perkara sebegitu.

Cerita lagenda Si Tanggang ini, banyak memberikan unsur positif dan pengajaran yang boleh dicontohi oleh masyarakat pada hari ini.

 

Oleh ADILAH MAJID

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS