SGW diperluaskan ke pusat bandaraya

SGW diperluaskan ke pusat bandaraya

Akhirnya, ada formula baharu lerai masalah kesesakan lalu lintas...

LENDU 15 Mei – Kerajaan Negeri Melaka mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu rakyat negeri ini apabila memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu sistem lampu isyarat ‘Synchronize Green Wave’ (SGW).

Ia sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri perintis di negara ini yang melaksanakan sistem berkenaan yang dilihat mampu menyelesaikan masalah lalu lintas terutama dalam kawasan pusat bandaraya.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, inovasi terbaharu itu akan diperluaskan ke kawasan yang sering berlaku kesesakan di pusat bandaraya selepas projek perintis di Lebuh Ayer Keroh memberi impak positif dalam mengurai kesesakan selain menjimatkan 60 peratus masa perjalanan.

Justeru tegasnya, pemasangan sistem lampu isyarat SGW akan dilaksanakan pada pintu masuk kedua di negeri ini iaitu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) bermula dari persimpangan Simpang Ampat ke Pusat Bandaraya.

Pembinaan sistem di setiap persimpangan jalan raya itu jelasnya, akan dilaksanakan secara berfasa dengan peruntukan sebanyak RM250,000.

“Pada pembinaan pertama sistem itu di Lebuh Ayer Keroh dilihat memberi impak positif malah sistem ini mampu menjimatkan 60 peratus masa perjalanan.

“Kita akan teruskan projek ini dan jika peruntukan dapat ditingkatkan, ia akan memberi kesan besar dalam mengurangkan masalah lalu lintas di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan Ramadan dan majlis berbuka puasa peringkat Parlimen Masjid Tanah di Masjid Umar Al-Khattab di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut Adly, pelaksanaan inisiatif terbabit bukan sahaja ditumpukan di pintu masuk negeri ini namun ia akan diperluaskan ke kawasan tumpuan utama bagi mengatasi masalah sama.

“Kita akan laksanakan di jalan utama peringkat negeri seperti di persimpangan hadapan Masjid Al- Azim, persimpangan Semabok yang sering berlaku kesesakan.

“Sistem ini dihubungkan dengan bilik kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR), jadi kita akan tingkatkan mutu bilik kawalan ini bagi memastikan pelaksanaannya yang sistematik.

Dalam pada itu, tambah Adly, kerajaan negeri akan memasang sistem lampu isyarat pintar berserta kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang bakal memberi manfaat kepada pengguna lalu lintas di Melaka.

“Kita bakal menggunakan sistem lampu isyarat dengan teknologi pintar yang disertakan pemasangan kawalan CCTV dan seumpamanya yang mampu memberi kesan positif kepada pengguna jalan raya.

Sebelum ini, Ketua Jurutera Elektrik Negeri JKR, Ir. Saiful Zuhaimi Ahmad berkata, SGW mula dibangunkan pada Oktober lalu dan siap sepenuhnya pada Mac lalu bertujuan melancarkan trafik di negeri ini.

Jelasnya, sistem berkenaan umpama gelombang apabila pengguna kenderaan hanya berhenti sekali atau dua kali di sepanjang lapan persimpangan bergantung kepada waktu tertentu.

Isu kesesakan lalu lintas adalah antara masalah utama rakyat negeri Melaka terutama di kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir dan Melaka Raya.

Masalah menjadi lebih rumit ketika cuti persekolahan dan cuti perayaan apabila ramai pelancong luar berkunjung ke negeri ini.

CATEGORIES
TAGS