Seminar Pak Riz bakal himpun 500 keluarga

Seminar Pak Riz bakal himpun 500 keluarga

Yang paling penting, elak budaya negatif..

BUKIT KATIL 9 Okt – Seminar #Bersama Pak Riz bakal menghimpunkan 500 keluarga dari seluruh Malaysia 25 November ini di Setia City Convention Centre, Setia Alam.

Moderatornya, Rohizal Kasim atau Pak Riz berkata, seminar itu bagi melahirkan individu yang berakhlak mulia dalam keluarga.

“Individu tersebut mampu membangunkan keluarga sejahtera dan menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.

“Perubahan fikiran dan sikap positif perlu ada dalam keluarga dalam mengharungi cabaran kehidupan berkeluarga dan alam pekerjaan,” katanya kepada MelakaKini.

Ujarnya, pelbagai fenomena yang berlaku hari ini memerlukan kemahiran khusus dalam bidang kekeluargaan.

“Ia perlu diterapkan supaya institusi keluarga tidak musnah tanpa kita sedari,” katanya.

Ketanya, pada seminar tersebut peserta akan diberikan kemahiran khusus berteraskan kepada al-Quran dan As-Sunnah di samping pendekatan dalam bidang psikologi.

“Peserta ini dari seluruh negara melibatkan pelbagai latar belakang dan umur. Organisasi atau syarikat turut digalakkan menghantar peserta pada seminar ini.

“Diharap seminar ini dapat memberi kesan positif pada setiap individu sekali gus mengelakkan budaya negatif,” katanya.

Untuk rekod, Pak Riz merupakan seorang pakar motivasi berpengalaman selama 26 tahun dalam bidang kekeluargaan dan remaja.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES