Categories: NASIONALSUKAN

Selangor mula langkah kanan

KUALA LUMPUR, 29 Feb. – Juara Liga Super sebanyak dua kali, Selangor bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Pahang 2-1 pada aksi pertama Liga Super 2020 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Selangor terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan tonggak import baharu skuad Tok Gajah dari Brazil, Ivan Carlos pada minit ke-20, namun skuad Gergasi Merah itu berjaya mengikat kedudukan hanya dalam tujuh minit menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun.

Skuad kendalian B Sathianathan kemudian mengesahkan tiga mata penuh menerusi rembatan kencang Brendan Gan pada minit ke-88.

Sementara itu, Perak membenam Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi rembatan jarak dekat pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-18, sebelum penyerang import pelawat dari Brazil, Guilherme De Paula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41 selepas dia dijatuhkan pertahanan TFC, Arif Fadzilah Abu Bakar.

Ketua Pasukan The Bos Gaurus,  Shahrul Mohd Saad dengan tandukan derasnya menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 dan Guilherme mengukuhkan kemenangan Perak dengan satu lagi gol pada minit ke-79.

Turut gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri ialah pendatang baharu, UiTM FC yang kecundang 0-2 kepada Melaka di Stadium UiTM, Shah Alam.

Melaka membuka jaringan menerusi penyerang import dari Haiti, Sony Norde pada minit ke-28, sebelum pemain import dari Colombia, Romel Morales Ramirez menggandakan jaringan pada minit ke-90.

Saingan Liga Premier pula menyaksikan naib juara tahun lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) II meneruskan rentak cemerlang dengan membenamkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

JDT II bermula garang menerusi gol Arif Aiman Mohd Hanapi seawal minit kedua, diikuti dua jaringan Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-23 dan ke-50, manakala gol sagu hati pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Igor Carneiro Luiz pada minit ke-58.

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pemain JDT II, Nicolas Alberto Fernandez diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Abdul Rahman Wahab kerana mengasari penyerang Muhammad Nazrul Kamaruzaman pada minit ke-84.

Kelantan dan Kuala Lumpur pula terpaksa berkongsi satu mata apabila terikat 1-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Skuad ‘The Red Warriors’ membuka jaringan menerusi sepakan penalti Lazarus Kaimbi pada minit ke-47, namun jaringan lewat Kouassi Francis Kone pada minit ke-89 membantu Kuala Lumpur mengikat kedudukan.

Di Stadium Sarawak, pendatang baharu, Kuching FA gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila tunduk 1-2 dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) di hadapan lebih 3,500 penyokong.

Jaringan skuad The Varsity Boys diperoleh menerusi sepakan penalti pemain import dari Korea Selatan, Lee Seong Woo pada minit ke-42 dan Faiz Hanif Adnan (minit ke-78), manakala skuad tuan rumah mengurangkan defisit jaringan menerusi Rafiezan Razali pada minit ke-56.

— BERNAMA

Ahmad Fuad Bin Ramdan

Leave a Comment
Share
Published by
Ahmad Fuad Bin Ramdan

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago