Selamat bersara ustaz ‘legend’

PENJAWAT awam ‘legend’ negeri Melaka, sekurang-kurangnya bagi kalangan petugas media di Melaka, bakal bersara pada hujung Ogos ini.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Rahimin Bani bakal melepaskan jawatan yang disandangnya sejak lebih 20 tahun lalu apabila kontrak perkhidmatannya tamat pada 31 Ogos ini.

Walaupun penamatan awal kontraknya pada tarikh tersebut berbanding pada 31 Disember ini telah dikaitkan dengan isu melibatkan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, kerajaan negeri Melaka telah pun menafikan dakwaan berkenaan.

Ketua Menteri Adly Zahari menegaskan bahawa pemendekkan kontrak Rahimin adalah bagi memberi peluang kepada pegawai baharu mengisi jawatan tersebut dan tiada kaitan dengan isu Wan Ji.

Beliau menjelaskan bahawa kontrak Rahimin sebenarnya telah pun berakhir pada tahun lalu namun telah disambung untuk tempoh setahun lagi.

Adly yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut memaklumkan bahawa empat calon baru terdiri daripada pegawai JAIM dan MAIM sudah dikenal pasti untuk menggantikan jawatan Rahimin.

Sementara itu, laporan polis juga telah dibuat terhadap beberapa pemilik laman Facebook yang telah memfitnah kononnya Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab bertanggungjawab terhadap penamatan awal kontrak perkhidmatan Rahimin.

Berbalik kepada Rahimin, beliau boleh dianggap sebagai ikon JAIM dan mungkin merupakan watak yang paling dikenali di jabatan itu terutama dalam kalangan wartawan yang pernah dan sedang bertugas di negeri ini.

Beliau cukup dikenali sebagai seorang yang sangat mesra media dan mudah memberikan kerjasama apabila diminta.

Adly dilaporkan turut mengakui sumbangan Rahimin sepanjang berkhidmat di JAIM dan mengalu-alukan beliau untuk terus menyumbang kepada kerajaan negeri melalui institusi agama seperti masjid dan juga institusi pendidikan di negeri ini.

Siapapun yang bakal terpilih sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan JAIM yang baru, pastinya beliau berkemampuan untuk meneruskan tugas-tugas penguatkuasaan berlandaskan Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Yang mungkin menjadi sedikit tanda tanya, khususnya dalam kalangan pengamal media, ialah sama ada pengganti yang terpilih kelak akan dapat terus memberikan kerjasama erat sepertimana Rahimin.

Penyandang jawatan datang dan pergi, itu adalah aturan kehidupan.

Namun bak kata bidalan, ‘patah tumbuh, hilang berganti.’

Masa bakal menentukan sama ada yang tumbuh dan yang berganti adalah sama atau pun lebih baik daripada yang telah patah dan hilang.

Selamat bersara Ustaz Rahimin.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

Roshidi Abu Samah

Leave a Comment

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

5 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

7 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

7 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

7 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

7 months ago