Sekolah dinasihatkan hadkan aktiviti luar

Sekolah dinasihatkan hadkan aktiviti luar

Utamakan keselamatan dan kesihatan ya semua...

AYER KEROH 10 Sept. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mengingatkan semua sekolah di negeri ini supaya menghadkan aktiviti luar kelas dan mengutamakan keselamatan murid ketika musim jerebu ini.

Pengarahnya, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, prosedur standard (SOP) keselamatan pelajar wajar dipatuhi dan tindakan mengenainya perlu diambil segera jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 dimana pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid.

Ibu bapanya juga katanya, perlu memainkan peranan dengan mengawasi tingkah laku anak-anak selepas waktu sekolah, agar kesihatan mereka tidak terganggu dengan keadaan semasa.

“JPN Melaka telah memaklumkan perkara ini kepada semua sekolah dan ia merupakan antara SOP yang perlu dipatuhi bagi mengawal keselamatan pelajar.

“Kita juga akan mengedarkan penutup mulut dan hidung ke semua sekolah semasa musim jerebu ini,” katanya ketika dihubungi.

Sehingga jam 1 petang ini, Alor Gajah dan Bukit Rambai masing-masing merekodkan IPU kurang sihat, manakala Bandaraya Melaka masih berada di tahap baik.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS