Korang Tau Ke Hang Tuah Pernah Lalu Sungai Linggi ni? Baca ni..

Korang Tau Ke Hang Tuah Pernah Lalu Sungai Linggi ni? Baca ni..

SUNGAI Linggi dianggar sepanjang 83.5 km bermula dari kawasan berbukit di Kampung Jerlang, Pantai hingga ke Kuala Linggi, Melaka.

SUNGAI Linggi yang menjadi sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka bukan lokasi asing kerana selain mempunyai nilai sejarah sejak era Kesultanan Melayu Melaka, sungai itu juga sering menjadi buah mulut khususnya kalangan kaki-kaki pancing.

Panjang sungai ini anggaran 83.5 kilometer (km) bermula dari kawasan berbukit di Kampung Jerlang, Pantai hingga ke Kuala Linggi, Melaka.

MITOS BUAYA

UDANG Galah antara tarikan utama Sungai Linggi.

Pada zaman dahulu kala orang kampung dan buaya di Sungai Linggi, Negeri Sembilan dikatakan ada membuat satu perjanjian.

“Kita jangan usik-usik. Kita buat hal masing-masing. Insya-Allah kita akan selamat sehingga ke anak cucu,” begitulah kononnya bunyi perjanjian itu.

Ia mungkin benar kerana belum ada terdengar serangan buaya ke atas manusia sehingga sekarang di Sungai Linggi seperti mana yang terjadi di sungai-sungai di Negeri Sarawak.

Begitu pun, manusia terutama orang luar diminta menghormati pantang larang seperti mana tercatat pada papan tanda yang meminta pelancong tidak menepuk-nepuk air atau membasuh kaki di sungai itu.

Satu lagi papan notis yang mengesahkan kewujudan buaya didirikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sebelum pelancong menaiki jeti.

Ia berbunyi: “Dilarang mengganggu buaya dan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No 76 tahun 1976. Anda boleh dikenakan denda RM2,000 sehingga RM10,000 atau penjara dua hingga 10 tahun”.

Kesemua misteri ini sebenarnya hanya menambahkan minat untuk pelancong meneroka mistik Sungai Linggi, Sungai Timun, Sungai Rembau dan Sungai Pedas di Negeri Sembilan.

SINONIM DENGAN UDANG GALAH

Sungai Linggi juga boleh dikatakan cukup sinonim dengan udang galah atau nama jolokan ‘si sepit biru’ dan pelbagai spesies ikan sungai termasuk senangin, sembilang dan serkot.

Mengimbau kembali sejarah, Sungai Linggi yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi pernah menjadi laluan pedagang bijih timah pada abad ke-18.

TAMAN LOKAN

Bagi yang pertama kali menyusuri sungai tersebut pasti tertanya-tanya apabila melihat papan tanda “Selamat Datang ke Taman Lokan” yang ditulis tangan. Pasti ramai yang beranggapan kawasan berkenaan adalah sebuah pusat rekreasi dan riadah.

Bagaimanapun, mereka pasti terkejut melihat hampir keseluruhan ruang di taman itu dihiasi dengan kulit lokan seperti Jalur Gemilang, bendera Melaka, logo 1Malaysia serta lorong pejalan menggunakan kulit lokan sebagai urutan kaki.

Tidak cukup dengan itu, terdapat dua kerusi yang diberi nama kerusi urut lokan dibuat khusus untuk merehatkan badan menggunakan kulit lokan sebagai pelapik duduk dan penyandar.

Walaupun Taman Lokan terletak jauh dari bandar raya ini, namun ia cukup terkenal dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Tidak hairanlah pelancong luar negara seperti Indonesia, Singapura, Australia, Pakistan, Bangladesh, England, Korea Selatan dan beberapa negara lagi kerap mengunjungi taman tersebut.

Lokan adalah spesies makanan laut tergolong dalam spesies kupang dan kepah yang menjadi salah satu makanan penduduk di negeri ini terutama yang tinggal di pesisir pantai Selat Melaka.

Kulitnya pula dijadikan salah satu produk pelancongan terbaharu dan menjadi mercu tanda tarikan pelancong ke Kuala Linggi terletak kira-kira 120 km dari Bandaraya Melaka.

Taman Lokan yang diilhamkan oleh bekas pesara tentera, Zainal Md. Ali, 59, berkonsepkan sebuah taman rekreasi dan bakal menjadi ikon baharu Sungai Linggi-Rembau.

Di kawasan seluas 0.96 hektar yang dibuka pada 2007 bermula dengan hanya 20 lokan dibiakkan sebagai permulaan, kini jumlahnya lebih 4,000.

Biarpun Taman Lokan yang dibina hasil titik peluh Zainal tidak secantik taman rekreasi lain yang terdapat di negeri ini, tetapi ideanya mewujudkan taman tersebut tetap menjadi tarikan pelancong.

Berkunjung ke taman ini, orang ramai berpeluang merehatkan badan sambil menikmati keindahan Sungai Linggi-Rembau yang penuh dengan hutan paya bakau, flora dan fauna.

MELIHAT KELIP-KELIP

PELANCONG boleh melihat lebih dekat pemandangan cahaya kelip-kelip terdapat di sepanjang Sungai Linggi.

Pada sebelah malam pula, mereka berpeluang melihat kelip-kelip sehebat di Kuala Selangor dan lain-lain tempat di negara ini.

Trek menggunakan kulit lokan pula dibina sepanjang 100 meter bertujuan sebagai urutan kaki dan jika berkesempatan boleh merasai buah nipah yang enak rasanya.

Di samping itu juga, pengunjung turut berpeluang menyusuri Sungai Linggi serta memancing udang galah dan pelbagai spesies ikan air tawar dan laut kerana sampan turut disediakan.

Taman Lokan juga turut menyediakan penginapan inap desa cukup selesa bagi menghilangkan penat selepas seharian menjelajah kawasan tersebut.

LALUAN HANG TUAH

Sungai Linggi pernah dikaitkan dengan laluan digunakan Hang Tuah semasa membawa Puteri Tun Teja dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah.

Sungai Linggi merupakan antara sungai utama yang berada dalam Negeri Sembilan. Ia bermula dari kaki Banjaran Titiwangsa berpunca dari kawasan Kampung Jerlang, Pantai dan mengalir melalui kawasan lembangan sekitar daerah Seremban dan berakhir di Kuala Linggi, Melaka.

Menurut sumber lisan, dahulu-kala Sungai Linggi boleh dimudik sejauh ke pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi.

Sungai Linggi menjadi sempadan bagi Negeri Sembilan dan Melaka bermula di pertemuan Sungai Rembau & Sungai Linggi.

Sungai Linggi juga menjadi kawasan dan sempadan pengaruh politik antara Datuk Syahbandar Sungai Ujong dan Datuk Kelana Sungai Ujong.

Datuk Syahbandar Sungai Ujong mengawal dan berpengaruh bermula dari Linggi, Pengkalan Kempas, Rantau, Mambau, Rahang, Bukit Kepayang dan Labu.

Manakala Datuk Kelana Sungai Ujong berpengaruh dari Lenggeng, Mantin, Ampangan, Paroi dan Sungai Gadut.

SUMBER AIR

Sungai Linggi turut menjadi sumber air bersih bagi Daerah Seremban. Terdapat beberapa sungai utama yang menyumbang aliran air ke Sungai Linggi iaitu Sungai Jerlang, Sungai Paroi, Sungai Temiang Diversion, Sungai Temiang, Sungai Kepayang, Sungai Mantau, Sungai Kayu Ara, Sungai Belangkan, Sungai Simen dan Sungai Rembau.

Aliran sungai ini dari kuala hingga ke pertemuan dengan Kuala Sungai Temiang Diversion, ia dikenali dengan nama Sungai Linggi manakala aliran bermula dari titik pertemuan dengan Kuala Temiang Devirsion hingga ke pedalaman punca sungai di Kampung Jerlang, ia dikenali dengan nama Batang Penar.

SEMPADAN SEMULA JADI

Sungai Linggi juga merupakan sempadan semula jadi antara Negeri Sembilan dan Melaka.

Sebuah tapak kubu dimiliki penjajah Belanda dikesan terletak di Kuala Linggi juga mampu menarik pelancong seterusnya memperkenalkan produk pelancongan sejarah baharu di negeri ini.

Pada masa ini, kajian sedang dijalankan pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bagi melihat struktur sejarah dan mencari bahan sejarah lain di kawasan itu yang berpotensi untuk dimajukan sebagai produk pelancongan.

TARIKAN PELANCONG

Antara tarikan pelancongan ke Kuala Linggi yang berkonsepkan ECO dan AQUA Tourism ialah hutan kayu bakau mukim Kuala Linggi, pohon nipah sepanjang Sungai Linggi dan ternakan ikan sangkar di Sungai Linggi.

Pelancong juga boleh menikmati ikan bakar di Medan Ikan Bakar Fort Supai Kuala Linggi, Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru dan Medan Ikan bakar PKNK Melaka Barat.

CATEGORIES
TAGS