Sedia bas buat pelajar pulang beraya

Sedia bas buat pelajar pulang beraya

Untung pelajar-pelajar UTeM ni..

DURIAN TUNGGAL 14 Mei – Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal menerima perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung dengan kadar 10 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, inisiatif itu dibuka untuk semua destinasi di Semenanjung Malaysia bermula 31 Mei ini.

Menurutnya, pihak UTeM juga turut menyediakan perkhidmatan mengambil pelajar terbabit untuk pulang semula ke universiti bermula 9 Jun ini.

“Kami sediakan sebanyak 15 buah bas untuk bawa pelajar pulang menyambut hari raya Aildilfitri di kampung halaman masing-masing.

“Tahun ini peperiksaan akhir diadakan seminggu selepas Aidilfitri, kita tak mahu masalah pengangkutan sebagai beban mereka untuk mengulangkaji pelajaran seterusnya menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar TYT Tun Canselor UTeM di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM di sini semalam.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Katanya, UTeM sentiasa prihatin dengan kebajikan pelajar dan berharap mereka mengambil peluang yang diberikan itu sebaiknya.

Pada masa sama, Shahrin berkata, bermula tahun ini, pensyarah serta pelajar UTeM bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa buat 1,500 pelajar setiap hari.

“Aktiviti ini bukan saja dapat perkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga universiti, malah memupuk sikap kekitaan dalam kalangan generasi muda.

“Selain menekankan soal pendidikan, kita juga memberi perhatian kepada aktiviti sosial, diharap selepas mereka tamat pengajian, mereka akan mempraktikkannya bersama masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

CATEGORIES
TAGS