Sebanyak 118,416 kes demam denggi seluruh negara

Sebanyak 118,416 kes demam denggi seluruh negara

Sama-sama kita banteras denggi!

KUALA LUMPUR, 2 Dis. – Sebanyak 118,416 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 27 Nov lepas, meningkat 70 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 164 kematian dilaporkan tahun ini berbanding 118 kematian pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 46 kes (39 peratus).

“Beberapa tindakan bersepadu telah dilaksanakan melalui pasukan petugas khas denggi yang terdiri daripada pelbagai kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya kempen gotong-royong dan aktiviti pembersihan persekitaran yang dijalankan sebanyak dua kali setahun pada Mac dan September 2019,” katanya pada sesi jawab lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang ingin tahu status terkini demam denggi di Sarawak serta Malaysia dan jumlah kematian yang disebabkan oleh demam itu.

Selain itu, Dr Lee berkata dalam usaha mengawal penyakit itu, kementerian melakukan inisiatif inovasi kawalan denggi iaitu pelepasan telur nyamuk Aedes Wolbachia bagi menggantikan populasi nyamuk aedes liar yang membawa virus denggi.

Katanya, dengan kehadiran bakteria Wolbachia dalam nyamuk aedes akan merencatkan perkembangan virus denggi dalam badan nyamuk dan mengurangkan risiko jangkitan virus denggi kepada manusia lain.

“Operasi ini dilakukan berikutan keputusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dapat mengurangkan 50 hingga 70 peratus kes denggi di lokaliti kajian. Fasa pertama operasi ini telah dijalankan di 11 lokaliti di Petaling dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES