`Sayangi Malaysiaku’ bangkit semangat patriotik pelajar KUIM

`Sayangi Malaysiaku’ bangkit semangat patriotik pelajar KUIM

Generasi muda perlu menyambung semangat generasi terdahulu pertahan kedaulatan negara

KUALA SUNGAI BARU 11 Sept. – Program ‘Sayangi Malaysiaku’ yang diadakan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-23 Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di sini Sabtu lalu, berjaya menaikkan semangat patriotik di kalangan pelajar.

Program berlangsung lebih tiga jam itu diisi dengan persembahan nyanyian lagu-lagu irama Malaysia, sajak, syair dan persembahan silat gayong daripada pelajar dengan penuh semangat.

Suasana di perkarangan Dataran Siswa agak meriah dipenuhi mahasiswa dan mahasiswi untuk menonton dan menyaksikan pelbagai persembahan pada malam tersebut.

Kata-kata semangat daripada pengerusi acara pada malam tersebut, Ashraf Naif, benar-benar membangkitkan semangat cintakan negara di samping mengimbau sejarah perit getir dan pahit maung anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada daripada dijajah.

“Kemerdekaan adalah sangat bermakna kerana negara masih bebas dan aman damai daripada penjajah yang pernah menguasai negara satu ketika dahulu.

“Jika tidak dihargai, tidak mustahil negara bakal dijajah semula walaupun bukan secara fizikal tetapi psikologi,” tegas Ashraf.

Pegawai Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIM, Shahril Mohd Zin yang hadir menutup program tersebut turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menghias fakulti sempena minggu kemerdekaan.

 

Oleh AZHAR YUSOF

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS