Categories: Covid-19NASIONAL

`Saya terima qada dan qadar Allah’ – pengusaha katering

MASJID TANAH 18 Mac – “Saya terima semua ini sebagai qada dan qadar Allah kerana usaha dan tadbir manusia tidak mampu mengatasi takdir tuhan.
“Walaupun saya mengalami kerugian, sekurang-kurangnya saya masih ada deposit pelanggan yang boleh dijadikan modal pusingan untuk meneruskan perniagaan katering yang terjejas akibat Covid-19,” kata Mohd Farhan Azwan Mohd Azlan, 32.
Pengusaha katering itu berkata, enam tempahan katering yang diterimanya beberapa bulan lalu tidak mampu diteruskan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tiga daripada tempahan itu adalah untuk membantu majlis perkahwinan di sekitar daerah ini manakala tiga lagi adalah untuk majlis kenduri aqiqah sepajang cuti persekolahan dari 14 hingga 22 Mac ini, katanya.
Beliau berkata, semua tuan rumah yang membuat pesanan itu terpaksa menunda majlis berkenaan berikutan perintah berkenaan selepas masing-masing memberikan deposit tidak kurang daripada RM1,000.
“Ada antara tempahan itu saya sudah buat persediaan dengan membeli barangan basah dan kering seperti daging, ayam dan seumpamanya.
“Alhamdulillah saya sempat menyelamatkan barangan basah itu dengan menyimpannya dalam bilik sejuk beku tetapi sayur-sayuran gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang dijadikan tempat menyediakan pelbagai bahan makanan di Kampung Solok Duku, di sini hari ini.
Beliau yang enggan menjelaskan kerugian sebenarnya berkata, ia mencecah ribuan ringgit dan sepanjang kira-kira 15 tahun terbabit dalam perniagaan itu, itulah kali pertama ramai pelanggan membuat penangguhan majlis kenduri dalam satu masa.
Sebelum ini beliau pernah mengalami kerugian tetapi ia bukan disebabkan oleh penangguhan atau pembatalan majlis perkahwinan dan kenduri, sebaliknya adalah disebabkan oleh pengurusan yang kurang cekap.
Bagaimanapun, kesilapan seumpama itu sudah diatasinya melalui penambahbaikan dalam pengurusan pembelian bahan masakan, barangan basah dan kering, serta pengurusan kewangan yang lebih efisien.
“Pada kali ini saya terpaksa menerima hakikat bahawa segalanya bukan dalam kawalan saya, sebaliknya adalah atas kehendak Allah yang memberi ujian wabak COVID-19 untuk manusia seluruh alam,” katanya.
Mohd Farhan berkata, pelanggan berkenaan tidak membatalkan majlis masing-masing, sebaliknya menangguhkannya hingga keadaan kembali normal dan bakal merealisasikannya selepas kerajaan mengisytiharkan wabak berkenaan tidak lagi mengancam keselamatan awam.
Bagaimanapun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang turut mengarahkan peniaga kedai makan supaya tidak beroperasi, Mohd Farhan hari ini menerima tempahan makanan daripada pelanggan yang memilih untuk mendapatkan bahan makanan dihantar olehnya.
“Alhamdulillah, masih ada tempahan kecil-kecilan daripada pelanggan yang tidak sempat memasak dan tidak dapat makan di kedai kerana larangan makan di kedai sekarang,” katanya.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago