Saya tak cakap pengayuh beca tak sekolah – Norhizam Hassan

Saya tak cakap pengayuh beca tak sekolah – Norhizam Hassan

BANDAR HILIR 29 Mac – “Saya tak cakap pun pengayuh beca tidak bersekolah, cuma saya berbincang saya hendak ‘menyekolahkan’ mereka untuk belajar mengenai kaedah terbaik menarik lebih ramai pelancong kerana mereka ini duta kecil,” kata Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee.

Semalam, satu video berdurasi 1 minit 35 saat diviralkan ketika Norhizam sedang mengadakan perbincangan bersama wakil pengayuh beca yang meminta bantuan beliau bagi mengatasi masalah laluan beca yang terhalang akibat program yang sering diadakan di kawasan terbabit.

Tegasnya, apa yang beliau bincangkan bersama wakil pengayuh beca tersebut adalah dengan mencadangkan agar mereka perlu menjalani kursus jangka pendek, kerana ia penting bagi memberikan imej baik kepada pelancong luar.

“Saya tak sangka seorang pengayuh beca merakam video perbincangan itu secara sembunyi sebelum tiba-tiba mencetuskan provokasi kononnya saya mendakwa pengayuh beca tidak bersekolah,” katanya.

Norhizam berkata demikian kepada media bagi mengulas rakaman video tular ‘pergaduhan’ beliau dengan seorang pengayuh beca yang berlaku di hadapan Menara Taming Sari pada sidang akhbar yang diadakan di bilik mesyuarat Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Usahawan Dewan Perniagaan Melayu Melaka (DPMM) yang juga pengusaha kedai Raja Cendol Taming Sari, Mohd. Zamri Mohd. Taib memaklumkan, kedatangan Norhizam kelmarin ke kawasan itu atas jemputannya bagi mengatasi beberapa masalah yang timbul.

“Saya berbincang dengan Norhizam secara elok dan pada masa yang sama terdapat beberapa pengayuh beca lain dan kami semua bersetuju dengan langkah beliau untuk membantu pengayuh beca di kawasan itu.

“Bagi saya, perkataan `tidak sekolah’ itu bukan keluar dari mulut beliau, namun individu yang merakamkan video itu yang tiba-tiba muncul dan membuat provokasi,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS