Sasar 30 peratus pengurangan import sayuran

Sasar 30 peratus pengurangan import sayuran

Nilai RM1 bilion itu jika dijimatkan boleh digunakan untuk membangunkan negara kita

BANDA HILIR 9 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk mengurangkan sebanyak 30 peratus import sayur-sayuran dalam termpoh dua tahun akan datang.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehuddin berkata, dengan pengurangan itu, kerajaan berjaya menjimatkan sebanyak RM1 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)

Menurutnya, aspek teknologi ditekankan bagi mencapai sasaran itu selaras perkembangan Revolusi Industri (IR 4.0) dan kajian Dasar Agro Makanan 2.0 berasaskan teknologi moden.

“Defisit pertanian tahun lalu bernilai RM18.8 bilion, kita mengimport RM50.5 bilion barang makanan dan sayuran RM3.3bilion.

“Dengan pelaksanaan pertanian moden, kita bukan sahaja boleh kurangkan nilai import, malah boleh dieksport semula jika nilainya tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Southeast Asian Vegetable (SEAVEG) 2019 di sini, hari ini.

Simposium tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Hadir sama, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee.

Katanya, kementerian memfokuskan industri pertanian moden berikutan kekangan baharu seperti faktor usia, tanah dan tenaga kerja.

“Usaha ini boleh menarik minat anak muda dan menggalakkan mereka menanam kubis bunga, lobak merah, salad dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran SEAVEG 2019 itu bersesuaian dengan negerinya yang boleh diperkembangkan sebagai pusat teknologi sayuran moden.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS