Sah Casagrande ganti Olusegun, semua pemain import lulus

Sah Casagrande ganti Olusegun, semua pemain import lulus

KESEMUA pemain import yang sedang diuji Melaka United (MU), Jang Suk Won, Luka Milunovic, Darko Markovic, Anselmo Arruda ‘Casagrande’ da Silva dijangka menerima kontrak semusim bersama pasukan itu dalam masa terdekat.

Pengurus Pasukannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas aksi pra-musim ketiga bertemu Warriors FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Katanya, aksi pemain import yang diuji musim ini amat memberangsangkan dan Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan corak dan prestasi ditampilkan mereka.

“Pemain import (prestasi) setakat ini Zainal sangat puashati dan dari persembahan mereka secara dasarnya dah boleh dikekalkan.

“Lagi pun kita kesuntukan masa untuk mencari pemain gantian,” katanya.

Ketika ditanya mengenai status bekas penyerangnya, Ifedayo Olusegun, Mohd Yusof menjelaskan, pihaknya gagal mendapat kata persetujuan bagi memperoleh khidmat pemain berkenaan.

“Di peringkat awalnya memang tiada persetujuan, tetapi akhir-akhir ini baru dengar macam hendak berunding semula.

“Tetapi, kita sudah ada komitmen termasuk Zainal, jadi dengan keadaan (rundingan) ini agak sukar sikit ,” katanya.

Status kesemua pemain import telah disahkan Mohd Yusoff tadi termasuk Casagrande membuktikan MU sudah melupakan khidmat Olusegun bagi posisi menyerang.

Olusegun sebelum ini pernah memberitahu beliau masih belum mendapat sebarang jawapan mengenai penyambungan kontraknya bersama MU setelah membantu pasukan itu kekal bersaing di Liga Super dan telah menolak tawaran dari beberapa kelab lain.

Casagrande yang menggantikan posisi Olusegun telah pun menjaringkan dua jaringan peribadi membantu MU menang 5-1 ke atas Warriors FC bagi aksi pra-musim ketiga.

Bekas penggempur Felcra FC berasal dari Brazil itu nyaris menjaringkan hatrik bagi aksi pertamanya di hujung perlawanan di kelab berkenaan sebelum digantikan Nurshamil Abd. Ghani pada separuh masa kedua.

CATEGORIES
TAGS