Rumah Harapan : B40 & M40 inisiatif bantu rakyat miliki rumah sendiri

Rumah Harapan : B40 & M40 inisiatif bantu rakyat miliki rumah sendiri

AYER KEROH 8 Feb. – Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) mengalu-alukan kerjasama pihak
pemaju swasta dalam usaha melaksanakan projek pembangunan Rumah Harapan Melaka yang diumum Ketua Menteri, Adly Zahari, baru-baru ini.

Projek perumahan yang menyasarkan kumpulan berpendapatan isi rumah B40 dan M40 itu antara insiatif baharu kerajaan negeri untuk memenuhi permintaan rakyat Melaka yang ingin memiliki kediaman sendiri.

Pengarah LPM, Saleh Mohd Dom berkata, setakat ini, LPM telah mendapat persetujuan dari sebuah syarikat pemaju swasta bagi dua projek perumahan di Bukit Tambun, Durian Tunggal, sebahagian darinya merupakan Rumah Harapan.

Katanya, kerajaan negeri membina Rumah Harapan ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di
antara RM3,000 hingga RM6,000 untuk memiliki kediaman sendiri.

“Seiring hasrat kerajaan, diharap lebih banyak pemaju dapat membina Rumah Harapan ini supaya lebih banyak penduduk
mampu membeli, bukan sekadar mampu tengok,” katanya ketika ditemui di Lembaga Perumahan Melaka, pagi tadi.

Menurutnya, projek pertama Rumah Harapan berharga serendah RM80,000 hingga RM100,000 itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Bercakap kepada MelakaKini, beliau berkata, kebanyakan projek pembinaan Rumah Harapan akan dibina di sekitar kawasan luar bandar berikutan harga tanah yang masih murah berbanding di kawasan bandar.

Ujarnya, Rumah Harapan dibina dengan keluasan 850 kaki persegi, punyai tiga bilik dan dua bilik air.

Antara syarat utama pemilikannya, pemohon mestilah rakyat Melaka dan sudah berkahwin.

Katanya, kumpulan B40 berpendapatan di bawah RM3,000 dan kumpulan M40 berpendaptan antara RM3,000 hingga RM6,000 juga layak memohon rumah itu.

CATEGORIES
TAGS