Penjawat Awam Negeri diperuntukkan RM5 juta untuk ganti kenderaan berusia melebihi 20 tahun-  Adly

Penjawat Awam Negeri diperuntukkan RM5 juta untuk ganti kenderaan berusia melebihi 20 tahun- Adly

Kenderaan berusia lebih 20 tahun sewajarnya digantikan demi keselamatan

AYER KEROH 6 Sept. Kerajaan negeri membelanjakan RM5 juta bagi menggantikan 45 unit kenderaan pelbagai jenis berusia lebih 20 tahun yang masih digunakan oleh jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini, pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk menukar kenderaan milik jabatan dan agensi kerajaan berusia lebih 10 tahun bagi Fasa Dua inisiatif penggantian kenderaan tersebut.

“Bagi fasa pertama kita membelanjakan RM5 juta untuk gantikan kenderaan berusia lebih 20 tahun dan bagi fasa kedua kita akan gantikan kenderaan berusia lebih 10 tahun pula,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Seri Negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adly memuji usaha pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menangani kes kebocoran gas ammonia di kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Jasin baru-baru ini.

Namun katanya, beberapa penambahbaikan boleh dilakukan oleh agensi kerajaan yang terlibat pada masa hadapan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan cepat kepada media berhubung sesuatu bencana yang berlaku.

“Ini kerana maklumat yang tepat itu dapat memberikan gambaran yang baik tentang situasi sebenar bencana itu.

“Kita tidak boleh menyalahkan masyarakat yang mempunyai persepsi negatif jika mereka tidak diberikan maklumat yang tepat mengenai apa yang berlaku,” katanya.


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS