RM15 juta setahun peruntukan Dermasiswa TAPEM bantu pengajian luar negara

RM15 juta setahun peruntukan Dermasiswa TAPEM bantu pengajian luar negara

AYER KEROH 8 April – Peruntukan sebanyak RM15 juta setahun akan disalurkan menerusi bidang pendidikan di negeri ini melalui pembiayaan pinjaman pendidikan dan Dermasiswa Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian pelbagai bidang ke luar negara khususnya pengajian di negara Timur Tengah.

Menurut Adly, Dermasisiwa TAPEM yang baharu ditubuhkan buat pertama kalinya itu merupakan inisiatif kerajaan negeri dan telah menaja 27 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang melalui Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“27 pelajar yang terpilih ini akan meneruskan pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun dan kerajaan negeri akan menaja sebanyak RM20,000 bagi seorang pelajar.

“Kita yakin dengan adanya Dermasiswa ini ianya mampu memberi peambahbaikan dan permulaan kepada sistem pendidikan Islam di negeri ini.

“Bagaimanapun TAPEM meliputi semua bidang dan bukan saja khusus kepada sesuatu pengajian mahupun satu kaum sahaja malah meliputi bidang lain seperti kejuruteraan serta kedoktoran dan sukan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita merasmikan majlis Pelepasan Delegasi Penghantaran Pelajar Penerima Dermasiswa Pengajian Islam Melaka ke Universiti Al-Azhar, Mesir, di perkarangan blok Seri Bendahara, Seri Negeri, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pihaknya telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pelaksana yang diselia oleh Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (SPPLN) yang berperanan memantau pelajar di Mesir, Jordan, Maghribi dan Indonesia.

“Malah, penubuhan itu turut mengabungkan empat agensi kerajaan seperti TAPEM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM); Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM); dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) serta satu agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

“SPPLN berperanan bagi membuat penyelarasan dan memantau pelajar bagi menjaga kebajikan yang mampu melahirkan generasi cemerlang melalui pelabagai bidang yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

“Penubuhan ini akan membantu Melaka memantau pelajar ini kerana kita mahu melihat petunjuk prestasi utama (KPI) mereka ini seratus peratus menamatkan pengajian dengan cemerlang.

“Usaha ini akan dilipat gandakan supaya dapat membantu lebih ramai pelajar khusus dalam bidang pendidikan Islam,” katanya.

 

 

CATEGORIES
TAGS