RM1.2 juta untuk G-KOM

RM1.2 juta untuk G-KOM

Rebut segera kemudahan yang disediakan kerajaan ini...

MACHAP BARU 11 Sept – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta Geran Komuniti (G-KOM) kepada negeri Melaka tahun ini bagi kegunaan persatuan penduduk.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, bagaimanapun setakat 30 Ogos lalu, hanya 80 daripada 353 persatuan penduduk berdaftar dengan Jabatan Pertubuhan Malaysia (ROS) yang memohon G-KOM.

Menurutnya, bagi memastikan peruntukan tersebut diaplikasikan dengan baik semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat memanjangkan perkara itu kepada persatuan terbabit.

“Tarikh akhir permohonan G-KOM dibuka sehingga 30 September ini.

“Peruntukan boleh digunakan untuk tujuan pembelian peralatan keselamatan dan pelaksanaan program kemasyarakatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Orang Asli Negeri Melaka 2019 di Machap Baru, Alor Gajah baru-baru ini.

Sebelum ini, pada 27 Ogos lalu, Exco Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, G-Kom masih berbaki RM430,000 ekoran masih banyak persatuan penduduk belum memohon peruntukan itu.

Ekoran itu, kerajaan melanjutkan permohonan itu sehingga 30 September ini.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS