Raya lebih bermakna…

Raya lebih bermakna…

Semoga kerja kebajikan di bulan Ramadan ini akan berterusan sehingga ke akhirnya...

 

BUKIT PULAU 13 Mei – Seorang warga emas melahirkan rasa syukur apabila rumah pusaka didiami sejak 72 tahun lalu kini lebih selesa dan sempurna selepas dibaik pulih menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Khatijah Md. Amin, 72, berkata, jika sebelum ini dia dan lima anaknya termasuk seorang kelainan upaya (OKU) terpaksa menetap di rumah semakin usang, tetapi, semua itu telah berlalu.

“Alhammdullilah, makcik sangat gembira dan terharu apabila diberitahu terpilih menerima bantuan ini dari pihak kerajaan.

“Lebih 20 tahun makcik dan anak-anak terpaksa tinggal di rumah serba kekurangan dan tahun ini sambutan hari raya pastinya lebih bermakna,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini selepas majlis perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil anjuran Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Jelas Khatijah, setiap kali sambutan hari raya, anak buahnya terpaksa bergilir-gilir masuk ke rumah kerana keadaan rumah tersebut tidak mampu menampung bilangan mereka yang ramai.

“Tahun ni bahagian atas rumah sudah dibaik pulih sepenuhnya, jadi bolehlah mereka berehat di situ. Malah, rumah juga sudah mempunyai siling berbanding dahulu hanya berbumbungkan atap zink,” katanya.

Tidak hanya bantuan baik pulih rumah sebaliknya Khatijah turut menerima perabot baharu, peralatan elektrik dan lain-lain.

“Makcik berterima kasih kepada pihak berkenaan sudi membantu meringankan beban keluarga kami.

“Kalau nak harapkan makcik dan anak-anak, entah bila rumah ini dapat dibaikki,” katanya hidup kini ditanggung sepenuhnya oleh anak-anak.

Majlis perasmian program disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Sementara Adly berkata, sejumlah RM19,884 telah diperuntukkan bagi kos baik pulih rumah tersebut dan RM4,974 bagi perbelanjaan perabot, peralatan elektrik dan lain-lain.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha CSR seperti ini demi kepentingan rakyat mendapat kehidupan lebih baik.

“Saya harap inisiatif ini dapat membina imej positif agensi sentiasa peka dan peduli terhadap kesusahan dan kekurangan dihadapi segelintir rakyat di negeri ini,” katanya sehingga kini empat program CSR telah dijalankan LPM termasuk di Bandar Hilir dan Bemban.

Antara kerja dijalankan termasuk membaik pulih zink rosak, menggantikan kayu dinding, lantai, jenang, pintu dan tingkap rosak, mengecat rumah dan membersihkan sekitar kawasan rumah Khatijah.

Turut diadakan sumbangan barangan makanan kepada 13 asnaf di kampung itu dari Japerun Bukit Katil.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Mohd Dom dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Pulau, Mohd Yanni Ismail.

CATEGORIES
TAGS