Categories: MELAKANASIONALRENCANA

Rasulullah SAW, utusan teragung yang perlu dicontohi

SETIAP umat Islam di negara ini, tidak kira pangkat dan darjat wajar menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan terbaik dalam kehidupan.

Melihat kepada perwatakan Rasulullah SAW yang serba serbi sempurna, baik dari percakapan, perwatakan, mahu pun peribadinya yang mulia lagi terpuji sudah cukup untuk melayakkan baginda diangkat sebagai ikon terbaik buat umat manusia.

Perkara ini juga pernah disebut sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Qalam ayat 4, yang bermaksud: ‘Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia’.

Ini sudah cukup menggambarkan betapa hebat dan tingginya akhlak Rasulullah SAW yang digelar al-amin atau kekasih Allah SWT ini.

RASUL PEMBAWA RAHMAT

Menyoroti kehidupan baginda Rasulullah SAW sejak kecil, ia tidaklah seindah yang disangka. Sejak kecil, baginda sudah diuji dengan bermacam dugaan termasuklah kehilangan orang yang dicintainya.

Namun, semua itu tidak langsung melemahkannya sebaliknya terus menunjukkan sifat dan akhlak yang terpuji sehinggalah baginda dewasa.

Pernah suatu ketika baginda diuji dengan kecaman oleh masyarakat Arab Jahiliah dan ada yang menggelar baginda sebagai ahli sihir kerana mengaku dirinya Rasul utusan Allah SWT.

Pada ketika itu, masyarakat Arab Jahiliah ini mempertikai mengapa Allah SWT menurunkan Rasul dikalangan manusia yang hidup sama seperti manusia biasa.

Namun, ramai yang tidak mengetahui Rasulullah SAW dipilih dari kalangan manusia adalah bertujuan untuk manusia mencontohinya.

Baginda juga diutus bukan hanya untuk menyempurnakan akhlak manusia, tetapi juga sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semesta.

Perkara ini disebut dalam satu firman Allah S.W.T. dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 107, yang bermaksud: ‘Dan tiadalah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam’.

CONTOHI SIFAT RASULULLAH

Setiap Rasul yang diutuskan Allah SWT dilahirkan dengan empat sifat yang terulung iaitu siddiq (benar); amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

Begitu juga dengan Rasulullah SAW yang mana-mana sifat-sifat ini dipraktikkan dalam kehidupan sejak kecil hinggalah dewasa.

Empat sifat yang diturunkan itu adalah untuk mengangkat martabat baginda selaku utusan terpilih, dan pada masa sama beroleh kepercayaan manusia untuk mengikuti ajaran yang dibawanya dan meninggalkan kemungkaran.

Ini terbukti apabila setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku baginda sentiasa mengandungi hikmah dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam al-Quran, iaitu mukjizat terbesar yang diturunkan Allah SWT.

Oleh sebab itu, jika semua umat manusia mengikuti akhlak dan semua peribadi Rasulullah SAW ini, maka kita tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat.

PEMIMPIN TERULUNG

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin agung umat Islam yang tiada bandingannya. Baginda memiliki ciri-ciri kepimpinan dalam semua aspek yang diperlukan, ditambah lagi dengan keperibadiannya yang dihiasi akhlak yang mulia dan terpuji.

Selaku pemimpin, Rasulullah SAW sentiasa berada di saf hadapan demi menegakkan kebenaran dan menghadapi tentangan daripada perjuangannya.

Akhlaknya lebih terpuji apabila baginda sanggup menolak tawaran kemewahan dan kesenangan hidup, sebaliknya sentiasa bersedia menghadapi pelbagai risiko demi menegakkan kebenaran.

Sejarah kepimpinan Rasulullah SAW jelas menjadi bukti bahawa baginda bukanlah seorang yang bersifat agresif atau bertindak secara melulu apabila dihina atau berdepan kesukaran.

Sebaliknya, baginda sentiasa mengambil pendekatan sabar dan tenang, malah tidak pernah berdendam dan hanya berserah serta berdoa kepada Allah SWT supanya melindunginya dan umat Islam yang tertindas.

Perkara inilah yang seharusnya dicontohi pemimpin-pemimpin kita pada masa sekarang. Sebagai pemimpin, mereka perlulah menjadikan keperibadian Rasulullah SAW ini sebagai ikutan jika mahu berjaya di dunia dan akhirat.

Tanpa pegangan dan sifat yang ditunjukkan ini, maka sesebuah organisasi yang diusahakan itu akan jadi berantakan, sekali gus menimbulkan huru-hara yang hanya akan membinasakan kelak.

BULAN CINTAKAN RASULULLAH SAW

Menjejak bulan Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari istimewa untuk mengingati perjuangan Rasulullah SAW dan menyemai rasa cinta serta rindu kepada Rasul junjungan Allah SWT ini.

Pada waktu inilah umat Islam seluruh dunia akan membasahkan bibir dengan bacaan selawat ke atas Rasulullah SAW demi mengingatinya.

Namun, disebalik itu, sambutan Maulidur Rasul ini juga mempunyai pengajaran yang tersirat, yang mana ia menggalakkan seluruh umat manusia mengingati akhlak terpuji dan keperibadian mulia baginda untuk dijadikan contoh tauladan terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan.

Selain itu, sambutan ini juga merupakan satu refleksi buat semua umat Islam dalam mengukur tahap keimanan diri sendiri saban tahun.

Akhir kata, semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini memberi 1001 makna buat umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Diharap, sambutan kali ini dapat dijadikan medan buat seluruh umat Islam untuk menghayati perjuangan baginda dan seterusnya menyebarkan lagi ajaran Allah SWT dalam usaha mendapatkan keberkatan di dunia dan akhirat.

Mohamad Fazrul Abdul Majid

Leave a Comment
Share
Published by
Mohamad Fazrul Abdul Majid

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago