Rangka pelan atasi masalah banjir di kampung nelayan Kuala Linggi

Rangka pelan atasi masalah banjir di kampung nelayan Kuala Linggi

Moga dipermudahkan segala urusan berkaitan isu banjir

KUALA LINGGI 29 Okt. – Gara-gara hujan lebat dan air pasang berlaku serentak, 14 buah keluarga terpaksa menanggung kerugian apabila rumah mereka dinaik air di Kampung Nelayan Kuala Linggi.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam itu dipercayai berpunca daripada parit utama yang didapati gagal menampung jumlah air sungai dan laut yang pasang menyebabkannya melimpah ke kawasan-kawasan rendah.

Difahamkan banjir setinggi 0.3 meter itu menyebabkan barangan elektrik dan perabot rosak di beberapa rumah.

Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Amran Othman, sejurus mendapat aduan daripada penduduk kampung mengenai masalah banjir tersebut, pihaknya terus menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Alor Gajah untuk turun padang melihat masalah terbabit.

Jelasnya, hasil pemerhatian mendapati ada beberapa masalah perlu diperbaiki termasuk melibatkan struktur parit dan jadual penjaga pintu air di kawasan terbabit.

“Apa yang kita faham, ban atau parit yang ada di kawasan ini perlu dipanjangkan lagi bagi mengurangkan risiko air melimpah dengan cepat ke kawasan kampung.

“Selain itu, kita juga berharap jadual penjaga pintu air dapat ditambah baik terutama apabila berlaku hujan lebat dan air pasang secara serentak,” katanya ketika dihubungi.

Untuk jangka masa panjang, Amran berharap JPS dapat menyegerakan pemasangan pam automatik di dua pintu air di kawasan terbabit agar masalah sama tidak berulang.

“Masalah banjir di kampung ini telah lama dan kerap berlaku. Sebelum ini, kita sudah ambil beberapa langkah dan masalah itu sedikit berkurang. Namun, kita berharap ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Justeru, kita berharap pemasangan pam automatik dan alat pengesan atau sensor di kawasan ini dapat dibuat segera bagi mengelakkan lebih banyak musibah berlaku terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu seperti sekarang,” katanya.

CATEGORIES