Rakyat Malaysia percaya media tradisional dan sumber kenalan peribadi

Rakyat Malaysia percaya media tradisional dan sumber kenalan peribadi

Media tradisional masih jadi pilihan...

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Rakyat Malaysia lebih mempercayai media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio berbanding sumber berita dalam talian.

Mereka juga lebih percaya dengan berita dan maklumat daripada kenalan peribadi berbanding sumber lain, menurut Ipsos, syarikat kaji selidik antarabangsa, yang menjalankan kajian peringkat negara dan global dari 25 Jan hingga 8 Feb lepas.

“Kepercayaan rakyat Malaysia kepada akhbar dan majalah meningkat daripada 21 peratus lima tahun lalu kepada 25 peratus kini manakala kepercayaan rakyat terhadap medium televisyen dan radio meningkat daripada 24 peratus kepada 28 peratus bagi tempoh sama,” menurut dapatan kajian itu yang dikeluarkan dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kaji selidik itu juga mendapati kepercayaan terhadap laman web dan platform berita dalam talian bagi rakyat negara ini juga meningkat sebanyak empat peratus iaitu daripada lapan peratus kepada 12 peratus bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, kaji selidik yang dijalankan dalam kalangan dewasa berusia bawah 74 tahun di 27 negara itu mendapati di peringkat global di sebaliknya berlaku dengan kepercayaan kepada media tradisional merosot dalam tempoh sama disebabkan kelaziman berita palsu dan kesangsian tentang niat media.

Juga, antara sumber berita dan maklumat, di peringkat antarabangsa hanya perhubungan peribadi telah bertambah kepercayaannya sepanjang lima tahun lepas.

“Sebanyak 79 peratus warga Malaysia menganggap bahawa akhbar dan majalah mempunyai niat baik berbanding peringkat global hanya 50 peratus manakala 77 peratus rakyat Malaysia pula mempercayai televisyen dan radio berbanding 52 peratus di peringkat global.

“Di India, Peru, Sweden, Jerman dan Malaysia, responden lebih mempercayai penyiar awam manakala di Hungary dan Poland sebahagian rakyat mempercayai penyiar swasta berbanding dengan penyiar awam.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Sdn Bhd Arun Menon dalam kenyataan itu berkata dapatan kajian mengenai kepercayaan rakyat Malaysia terhadap media yang semakin bertambah itu merupakan suatu perkara yang luar biasa.

“Hal ini jelas sekali (kepercayaan kepada media) dalam data selepas Pilihan Raya 2018. Warga Malaysia juga cenderung mempercayai berita daripada sumber lazim yang memberi saluran tradisional kelebihan berbanding platform berita dalam talian,” katanya.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS