Rakyat dinasihat tingkat kebersihan atasi denggi

Rakyat dinasihat tingkat kebersihan atasi denggi

LIMBONGAN 11 Mac – Rakyat Melaka disaran meningkatkan tahap kebersihan berikutan peningkatan ketara kes denggi di negeri.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berkata, setakat 28 Februari lalu Melaka mencatatkan 391 kes denggi, meningkat 220 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, Daerah Melaka Tengah mencatatkan 306 kes (meningkat 247.73 peratus), diikuti Alor Gajah 42 kes (meningkat 100 peratus) dan Jasin 43 kes (meningkat 230.77 peratus.

“Denggi tidak boleh ditangani oleh Jabatan Kesihatan sahaja, kerjasama terutamanya daripada masyarakat setempat, agensi kerajaan dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) amat penting bagi mengatasi pemasalah ini.

“Garapan antara Badan Pengurusan Bersama (JMB), pihak berkuasa tempatan (PBT), persatuan penduduk, ketua komuniti serta penduduk setempat dalam aktiviti pembersihan tempat pembiakan aedes amat diperlukan bagi memastikan kawasan persekitaran mereka bersih dan bebas aedes,” jelasnya.

Chee Leong berkata demikian semasa berucap sempena Program Gotong Royong Perdana Membenteras Wabak Denggi Peringkat Negeri 2019 di Taman Limbongan Permai di sini, Sabtu lalu.

Ketua Menteri, Adly Zahari hadir merasmikan program tersebut, hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Siah Soo Chin serta pemimpin masyarakat.

Chee Leong memberitahu, gotong-royong yang diadakan bertujuan merapatkan jaringan hubungan antara masyarakat bersama agensi berkaitan dalam memerangi wabak berkenaan.

“Ini berikutan, hasil pemantauan ‘trend’ kes denggi untuk lima tahun yang lepas oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan akan berlakunya peningkatan kes denggi pada tahun ini.

“Sehubungan itu, tindakan bersepadu iaitu gotong-royong secara besar-besaran di seluruh negara perlu dilaksanakan segera yang melibatkan penduduk setempat, ketua komuniti, pasukan Communication For Behavioural Impact (COMBI), PBT serta agensi-agensi yang terlibat,” tegas Chee Leong.

CATEGORIES
TAGS