Proton Wira masih ‘garang’ di jalan

Proton Wira masih ‘garang’ di jalan

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas...

KETIKA Proton, aset milik negara sedang beralih menghasilkan jentera yang makin moden, canggih dan jimat, sebahagian keluaran iaitu Proton Wira pada tahun 1993 hingga 2006 kekal menjadi pilihan orang muda. Ia juga diikuti, model-model yang memiliki casis sama seperti Mitsubishi Evo I hingga III seperti Proton Satria, Proton Arena dan Proton Putra yang menjadi kegemaran kaki-modifikasi, hasil kerjasama Proton-Mitsubishi pada 1996 dan 1998, mengikut model Lancer/Colt ketika itu. Walaupun kebanyakan menganggap kereta lama ini wajar dijadikan tukun sahaja kerana rangkanya yang sudah lama dan mereput tetapi sebahagian produksi yang dikeluarkan sehingga kini masih kukuh di atas jalan raya mahupun litar. Dikeluarkan dengan model kapasiti 1300 liter, 1500 liter, 1600 liter, 1600 liter dan 2000 liter diesel, enjin lama yang disarungkan hasil kerjasama Proton-Mitsubishi suatu ketika dahulu terbukti berdaya tahan dan amat lasak kerana masih digunakan hingga ini.

 

1. MESRA MODIFIKASI

Daripada bentuk luaran mungkin sebahagiannya pengguna lain lebih menyukai rekaan bentuk model lain tetapi jika membabitkan bahagian enjin ia lebih cenderung menghasilkan kuasa yang lebih besar jika talaan sempurna diberikan.Dengan barangan after-market yang berlambak-lambak di pasaran mengikut kualiti, harga dan jenama tertentu yang mampu menambah kuasa kuda dan ketahanan enjin mengikut kegunaan membuatkannya menjadi antara pilihan mengapa ia masih lagi berada di atas jalan raya.Kehadiran pelbagai enjin potong dari Jepun juga menambah daya tarikan kepada jentera ini.

Masakan tidak, luaran tampak kemas seperti kereta `abah-abah’, tetapi buka sahaja bonet hadapan, kemungkinan untuk ia bernadikan sebuah mesin 4G63T dari jentera Evo III dan lain-lain amat tinggi, ibarat rumah setinggan yang diubah menjadi apartment mewah atau kondominium, murah dan berbaloi.Persoalan yang diberikan adakah ia menelan kos yang tinggi, sudah tentu jawapannya ya tetapi jika bicara mengenai minat, apa sahaja kos diberikan sudah tentu ia bukan lagi halangan buat penggemar kelajuan.Dan pertanyaan paling popular, adakah ia melepasi piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)? Dengan kiraan tertentu mungkin ia dilepaskan tetapi dengan kuasa kuda yang melebihi beberapa peratus daripada apa yang ditetapkan, ia mungkin menjadi buruan abang-abang berbaju biru gelap di luar sana.

 

2. KEHADIRAN VERSI SEDAN PELUANG GOLONGAN BERKELUARGA KEKAL SPORTY

Proton Wira yang hadir dengan variasi empat pintu, menjadikan ia sebagai antara kenderaan kedua masa kini yang mudah dan murah bagi mereka yang kurang berkemampuan.Bagi keluarga yang hanya memiliki seorang atau dua anak, Proton Wira sudah memadai.Ia agak selesa dan sudah tentu menjadi pilihan kepada mereka yang ingin bersiar-siar dengan keluarga untuk dimiliki pada harga rendah, jika ingin dibandingkan dengan kenderaan baharu yang mungkin berbeza dari segi harga sehingga RM20,000 hingga RM30,000. Keluasan bonet bahagian belakang juga mampu memuatkan bagasi yang agak banyak jika ingin berjalan jauh.

 

3. KEKAL MDM atau JELMAAN JDM

Bagi pemandu jentera ini, sudah tentu barangan ‘kosmetik’ memainkan peranan sebagai penaik seri. Ada sebahagiannya yang gemar mengekalkan rupa asli seperti sedia ada atau mengubahnya dengan kacukkan dari model lain yang lebih dikenali sebagai Malaysian Domestic Market (MDM). Seperti ‘grill’, bumper hadapan, lampu hadapan, pemantul cahaya belakang dari model edisi khas (SE), UK dan pelbagai lagi. Tetapi disebabkan rangka yang diambil dari kerjasama antara Mitsubishi dan Proton, ia cenderung menerima sentuhan ‘pakar’ tanah air yang menjelmakannya kepada rupa Japan Domestic Market (JDM) iaitu Evo I-III jadian, Asti dan juga Lancer. Kos yang mungkin mencecah ribuan ringgit bukan merupakan halangan kerana ada yang beranggapan ia lebih murah menjelmakannya sebagai jentera dari negara matahari terbit dari memiliki sebuah jentera asli Evo yang menelan kos sehingga RM80,000, walaupun ia dikeluarkan antara 1994 hingga 1996. Bercakap mengenai kacukan dari negara matahari terbit, kebiasaannya bagi yang benar-benar kering, mereka akan mengubah kereta nasional negara ini kepada jelmaan kereta kebanggan dunia dengan mengerat sedikit panel di bahagian belakang sebelum dikimpalnya kembali dengan rupa asli Evo I-III.

 

4.BARANGAN ‘HALFCUT’ & ALAT GANTI YANG BANYAK SERTA BERPATUTAN

SEJAK alat ganti Proton Wira dan model seangkatan dengannya diumumkan diberhentikan pengeluarannya pada April lalu, harga alat gantinya meningkat sedikti berbanding barangan biasa. Namun ia tidak menimbulkan masalah buat para penggunanya, kerana kebanyakan sudah mengetahui model kenderaan lain yang boleh diubahsuai untuk digunakan. Antara lain, alatan ganti yang sentiasa berada dalam pasaran menyebabkan Proton Wira menjadi antara kenderaan pilihan semua golongan. Ia juga mengapa model ini kerap kali dicuri dan berdasarkan statistk suku tahun 2019, Proton Wira merupakan model kenderaan yang paling banyak dicuri dengan 127 unit dilaporkan dicuri, diikuti Proton Iswara dan Perodua Kancil.

 

5.BANYAK BENGKEL MEMAHAMI MASALAH YANG DIHADAPI

BERCAKAP tentang penyelenggaraan, sudah tentu selain barangan yang mudah didapati, mekanik yang berkemahiran juga memainkan peranan. Cuba bayangkan kenderaan anda tersadai di tepi jalan dan tiada mekanik berkemahiran yang mampu membantu, sudah pasti situasi itu sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan, perkara akhir yang boleh dilakukan adalah memanggil ‘mekanik-tangkap-muat’ yang mungkin menjalankan eksperimen terhadap kenderaan anda yang akhirnya kos lebih tinggi terpaksa dikeluarkan. Namun, bagi sebuah kenderaan yang sudah tidak lagi asing dalam arena permotoran negara, terlalu banyak bengkel dan mekanik yang memahami cara mengendalikannya dengan tepat. Yang membezakannya mungkin hasil kerja yang kemas, keramahan mekanik dan upah yang dikenakan. Bukan setakat mekanik, rakan komuniti yang terdekat juga mampu membantu jika mereka memiliki asas membaiki kenderaan, senang cerita, Proton Wira ini selain mesra modifikasi, ia juga mudah diselenggara. Dalam membaik pulih kenderaan yang sudah berumur hampir tiga dekad, kesabaran menjadikannya ia seperti baru keluar kedai amat diperlukan.

 

PENUTUP

Akhir kata, Proton Wira merupakan sebuah model yang dianggap kereta masyarakat yang kurang berkemampuan. Namun hakikatnya, ia hanya pertuturan bagi mereka yang tidak memiliki minat dalam permotoran, bayangkan kos membaikpulih serta menaiktaraf prestasi enjin mampu mencecah harga sebuah Myvi 2019 baharu atau lebih dari itu. Apa yang pasti, kenderaan ini sudah terbukti bertahan hampir 30 tahun dan masih mampu kekal juara di atas litar atau di jalanan. Usah pandang ringan kereta ‘berkarat’ ini, silap haribulan anda makan asap jer.

 


SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS