Projek naik taraf dan hujan lebat luar biasa antara punca banjir kilat

Projek naik taraf dan hujan lebat luar biasa antara punca banjir kilat

Pihak berwajib akan selesaikan segera

Foto sumber Facebook

AYER KEROH 2 Dis.- Hujan lebat diluar jangkaan dan projek longkang antara penyebab banjir kilat yang berlaku lewat petang semalam.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang semalam berpunca daripada air yang turun daripada projek perumahan ke kawasan rendah itu.

Katanya, lebih 20 kenderaan ditenggelami air di belakang kompleks Melaka Mall dan terdapat juga beberapa pengunjung yang meletak kenderaan di parkir kereta bertingkat terkandas.

“Di pihak MPHTJ Kita sudah ambil tindakan, tetapi peringkat pertama kita telah meletakkan pam motor di kawasan itu untuk menarik air keluar selain meminta pemaju projek menyiapkan longkang tanah.

“Esok kita akan mengadakan mesyuarat banjir bersama pihak agensi berkaitan bagi mengatasi isu ini supaya tidak timbul masalah berbangkit yang memudaratkan pengunjung,” katanya ketika dihubungi.

Kejadian petang semalam, hujan lebat lebih dua jam di sekitar negeri ini mengakibatkan beberapa kawasan dan laluan utama selain sistem perparitan dan longkang dinaiki air akibat banjir kilat, pada lewat petang.

Hujan lebat kira- kira jam 5.30 petang itu menyebabkan beberapa limpahan air di Lebuh Tun Razak di Peringgit, kawasan Bukit Katil, Batu Berendam dan sekitar Ayer Keroh.

Beberapa kawasan penduduk turut terjejas dengan air setinggi kira-kira 0.3 meter, iaitu Kampung Tun Razak, Taman Seri Jati, Taman Bukit Beruang, Kampung Sikume Batu Berendam, dan Kampung Sungai Putat, setakat 7.45 malam tadi.

 

CATEGORIES
TAGS