Projek korek pasir henti serta-merta

Projek korek pasir henti serta-merta

'Kantoi' langgar syarat, kerajaan arah henti projek korek pasir.

AYER KEROH 16 April – Kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan projek pengorekan pasir yang berlaku di kawasan Pantai Puteri.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, projek itu dihentikan serta-merta dan telah diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini disebabkan syarikat swasta yang mengendalikan projek berkenaan tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Dakwanya, intipan telah dilakukan pihaknya mendapati pasir yang dikorek tersebut telah dijual kepada syarikat yang mengendalikan projek perumahan di negeri ini.

“Kita lihat projek ini telah melanggar syarat yang ditetapkan dan melanggar permit yang diluluskan sejak November tahun lalu.

“Keputusan itu wajar dijadikan sebagai pengajaran kepada syarikat pengorekan pasir di negeri ini agar tidak mengambil kesempatan ke atas peluang atau projek yang diberikan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Seri Negeri, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar mengeluarkan notis menghentikan operasi pengorekan pasir di sekitar kawasan Sungai Rembau yang juga dilihat tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Jelasnya, perubahan ekosistem dan pencemaran telah berlaku di kawasan itu malah syarikat terlibat telah menyalahgunakan permit yang telah diluluskan.

“Projek seperti ini banyak menghasilkan sampah kerana bila dah dikorek, sampah yang tertanam akan keluar dari dasar sungai dan ini mencacatkan lagi ekosistem.

“Malah syarikat ini dipercayai melakukan projek ini di kawasan selain dari kawasan yang dibenarkan.

“Contohnya, bila kita benarkan projek itu beroperasi di kawasan yang ditetapkan, tapi mereka juga lakukan projek itu dikawasan lain di sekitar kawasan sungai ini.
Perkara ini disebabkan kawasan yang diluluskan itu dah kehabisan pasir, jadi mereka pindah ke kawasan lain pula.

“Malah sehingga kini, tiada pampasan dibayar kepada nelayan terlibat sedangkan mereka berjanji nak bayar pampasan itu,” katanya.

CATEGORIES
TAGS