Program Eco-School galak pelajar pelihara alam sekitar

Program Eco-School galak pelajar pelihara alam sekitar

BUKIT LINTANG 10 Jan. – ‘Eco-School’ merupakan program pendidikan dan pensijilan alam sekitar bagi menggalakkan sekolah-sekolah mengambil pendekatan holistik dalam menangani isu-isu pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar.

Ia juga merupakan inisiatif asas bagi menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam persekitaran dengan memberikan mereka peluang untuk melindunginya alam sekitar secara aktif.

Bagi melaksanakannya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Roslan Ibrahim berkata, ia bermula dalam kelas, peringkat sekolah dan akhirnya dapat menggalakkan perubahan dalam masyarakat umum.

Beliau berkata, program Eco-School merupakan satu cara yang ideal untuk pihak sekolah memulakan perjalanan bermakna ke arah meningkatkan persekitaran melibatkan para pelajar dan masyarakat setempat.

“Pada masa sama, ia memberi kesan positif sepanjang hayat kepada kehidupan pelajar, keluarga, guru-guru, kakitangan sekolah dan masyarakat.

“Program ini turut mendapat sokongan ahli jawatankuasa EcopSchool peringkat kebangsaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Perhilitan dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

“Manakala di Melaka, program sebegini dilaksanakan dengan kerjasama Green Growth Asia (GGA), World Wildlife Fun (WWF) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM),” jelasnya.

Roslan berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Santai Hijau Eco-School Melaka 2019 di Anjung Iltizam, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Sahari Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, S. Chandru dan Pengarah Eksekutif GGA, Datuk Dr. Dionysius Sharma.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GGA, Balamurugan Ratna Krisnan; Guru Besar SK Bukit Lintang, Rohayati Baharom & Pengerak Program Eco-School yang juga bekas Guru Besar SK Bukit Lintang, Jamilah Ishak.

Jelas Roslan, antara program Eco-School yang sedang dan akan dilaksanakan di Melaka adalah Pertandingan Eco-School Melaka melibatkan sekolah-sekolah di negeri ini, Eco-School Summit 2019, kursus hijau peringkat sijil untuk kumpulan pengurusan tertinggi sekolah dan program kempen hijau sepanjang tahun 2019.

“Program lain yang dirancang adalah dengan mengadakan program hijau khas seperti ‘energy efficiency for building, carbon inventory dan sebagainya serta penyertaan guru-guru sekolah bagi program hijau di peringkat antarabangsa.

“Sejak 2017, program ini dimulakan dengan penyertaan 84 sekolah, pada 2018 tambahan sebanyak 33 sekolah telah menyertainya dan menjadikannya 117 sekolah yang menyertai program Eco-School ini di Melaka,” katanya.

Ujarnya, sejak program itu dilaksanakan, sebanyak 17 sekolah telah menerima pengiktirafan Eco-School di mana empat sekolah menerima anugerah tertinggi ‘Green Flag’ termasuk SK Bukit Lintang.

CATEGORIES