Populasi babi tidak jejas pelancongan, masih terkawal – KM

Populasi babi tidak jejas pelancongan, masih terkawal – KM

Yakin kepada kecekapan Perhilitan

PANTAI PUTERI 8 Nov. – Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, populasi babi yang dilaporkan meningkat sekali ganda tidak menjejaskan sektor pelancongan negeri.

Katanya, masalah itu juga masih lagi terkawal dan mampu diselesaikan menerusi kerjasama antara agensi.

“Masih boleh kawal menerusi kawalan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama agensi kerajaan supaya kawalan baik terhadap habitat itu terkawal.

“Seperti isu monyet, puncanya adalah penempatan yang terhad, jika kawasan hutan dijaga dan terdapat kawasan tertentu supaya habitat ini hidup dan membiak, ia juga sebenarnya keperluan kepada kelestarian alam secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian aplikasi Respons Rakyat (RR) di Hotel Pantai Puteri, hari ini.

Turut diadakan pada majlis itu ialah Hari Bertemu Rakyat (HBR) sesi keempat.

Terdahulu, Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, dalam tempoh lima tahun, sebanyak 483 aduan membabitkan konflik babi sama ada di kawasan perumahan mahupun kediaman penduduk yang berdekatan belukar.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, sebanyak 125 aduan diterima dan 457 ekor hidupan liar itu yang dihapuskan membabitkan 123 operasi hingga Oktober lalu.

“Daripada jumlah itu, 212 babi hutan ditembak ketika operasi di daerah Melaka Tengah diikuti daerah Jasin (128) dan Alor Gajah (97).

“Melihat peningkatan sekali ganda itu, kita bimbang dengan keadaan tersebut dan antara langkah yang dilakukan termasuk akan memasang sembilan perangkap babi selain membasmi dengan cara menembak,” katanya.

CATEGORIES
TAGS