Politeknik Merlimau johan IPT pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan Melaka

Politeknik Merlimau johan IPT pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan Melaka

Tahniah dan syabas kepada Politeknik Merlimau

MERLIMAU 18 Sept – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menjuarai Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan peringkat negeri bagi kategori institusi pengajian tinggi (IPT).

Hadiah kemenangan disampaikan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar pada satu majlis yang diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM, Mohamad Nazri Ismail berkata, kemenangan tersebut adalah bukti kesungguhan semua warga PMM dalam memastikan politeknik berkenaan mendapat keputusan terbaik dalam pertandingan tersebut.

Kejayaan itu katanya, lebih manis kerana ia merupakan percubaan kali pertama PMM menyertai pertandingan berkenaan.

“Semua usaha ini bermula daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang digerakkan oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP), Mohd Shafie Osman.

“Alhamdulillah, walaupun tiada sebarang pengalaman menyertai pertandingan, PMM berjaya memikat hati juri untuk memberi kemenangan kepada kami”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan HEP, Mohd Hoirie Abdul Manah berkata, penggemblengan tenaga dan kreativiti daripada semua jabatan akademik telah memberi sumbangan besar terhadap kemenangan PMM.

PMM menurutnya, amat bertuah kerana setiap ketua jabatan, pensyarah dan pelajarnya sentiasa komited dalam menghias dan menghasilkan sudut bulan kebangsaan bagi tahun ini.

“Sebagai contoh, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti menghasilkan bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang diperbuat daripada botol minuman kitar semula dan juga menghasilkan bendera gergasi daripada papan telur terbuang,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS