Polis beri amaran pihak promosi modifikasi motosikal

Polis beri amaran pihak promosi modifikasi motosikal

Tak pasal-pasal kena dah geng-geng ni...

BUKIT MERTAJAM, 10 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada semua pihak termasuk golongan artis agar menghentikan aktiviti mempromosi kegiatan modifikasi motosikal secara haram dan melanggar undang-undang sekiranyanya tidak mahu berdepan tindakan tegas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata aktiviti tidak sihat itu dikesan memberi dorongan kepada pengguna motosikal lain terutama remaja untuk mengubah suai kenderaan mereka dan terlibat dalam kegiatan tidak sihat seperti lumba haram dan sebagainya.

“Saya sendiri ada mendengar mengenai kumpulan dan artis yang mempunyai laman sosial sendiri bagi menyiarkan video mengenai modifikasi haram yang dilakukan mereka terutama motosikal daripada jenis Y15ZR yang lebih dikenali sebagai Ysuku itu.

Saya beri amaran kepada semua pihak sama ada individu atau artis, hentikan aktiviti mempromosi modifikasi motosikal secara haram terutama daripada jenis Yamaha Y15ZR yang dilihat semakin menjadi-jadi dan jika ingkar mereka berdepan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Flex Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed.

Azisman berkata polis menerusi unit khas Skuad 42 yang bertujuan memerangi kumpulan mat rempit akan menjalankan siasatan dan mengumpul bukti bagi menahan mereka yang terlibat dalam gejala mempromosi aktiviti tidak sihat.

“Pegawai dan anggota polis itu akan menyamar sebagai orang awam termasuk menjadi geng mat rempit sebelum mengekori mereka dan mengambil gambar serta video sebagai bukti kegiatan modifikasi serta lumba haram sebelum mendakwa mereka di mahkamah.

Itu pendekatan polis sekarang ini dan kami tidak lagi hanya menjalankan operasi secara terang-terangan dan terbuka sebaliknya dengan menyamar serta mengumpul maklumat lengkap dan seterusnya tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata purata kemalangan maut direkodkan di negara ini adalah antara 16 hingga 17 kes setiap hari dengan 65 peratus daripadanya membabitkan penunggang motosikal.

Menurutnya, situasi terkini menunjukkan kebanyakan kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan selain tidak mengikut peraturan jalan raya terutama had laju yang ditetapkan.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS