Pokok buluh atasi pembuangan sampah haram

Pokok buluh atasi pembuangan sampah haram

Pokok buluh dipilih sebagai tanaman yang dilihat sesuai untuk menggaburi pemandangan sampah yang dibuang selain, cirinya yang mudah dijaga.

BANDARAYA MELAKA 12 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang melihat keberkesanan projek ‘screening’ menggunakan penanaman pokok buluh di dalam pasu yang dilaksanakan tiga minggu lalu, bagi mengatasi pembuangan sampah secara haram.

Projek itu dilakukan di tiga lokasi iaitu di Bukit Rambai, Tanjung Minyak dan Padang Temu dijangka digunakan secara meluas, jika didapati berkesan.

Datuk Bandarnya, Mansor Sudin berkata, pokok buluh dipilih sebagai tanaman yang dilihat sesuai untuk menggaburi pemandangan sampah yang dibuang selain, cirinya yang mudah dijaga.

Katanya, berdasarkan pemerhatian tiga minggu lalu, pihaknya turut mendapati aktiviti membuang sampah haram berkurangan di Padang Temu, namun memerlukan lebih banyak pemantauan sebelum memutuskan ia berkesan sepenuhnya.

“Projek ‘screening’ ini merupakan ujikaji ‘test and error’ dilaksanakan MBMB di lokasi-lokasi tertentu yang kerap diadukan berlakunya pembuangan sampah haram.

“Dan pokok buluh diuji kerana ia tidak beranting, mudah dijaga dan murah serta penanamannya di dalam pasu membolehkan kita mengawal pembesarannya, dalam masa sama menghalangnya dari dirosakkan ketika adanya kerja memotong rumput,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Hang Tuah di sini hari ini.

Bagaimanapun berhubung isu kebersihan di negeri ini, Mansor berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja atau tidak sengaja mengotorkan Melaka.

“Bagi pihak kami, tindakan akhir yang dimahukan adalah mendenda pihak yang berdegil dan menyeru agar masyarakat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan membuang sampah di tempatnya,” katanya.

Sementara itu, MBMB turut akan memperkasakan intipan sampah haram di beberapa lokasi baharu.

“Ada tiga lokasi baharu yang sedang diintai kerana pihak kami kerap menerima aduan dari masyarakat.

“Lokasinya akan diberitahu kemudian agar tidak menganggu operasi yang akan dibuat, setakat ini ini satu notis telah dikeluarkan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS