Poay Tiong cabar pembangkang bangkit isu lewat bayar balik GST

Poay Tiong cabar pembangkang bangkit isu lewat bayar balik GST

Dah tentu pembangkang tidak akan sahut cabaran kerajaan tu sebab tahu mereka memang lewat membuat bayaran balik

AYER KEROH 12 Julai – Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencabar pemimpin pembangkang membangkitkan isu kelewatan pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada pembayar cukai apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporannya minggu depan.

Tegas beliau, kerajaan terdahulu yang lewat membayar balik bayaran GST kepada pembayar cukai bukan sahaja merompak sebanyak RM19.4 billion malah merosakkan ekonomi negara dan melanggar kepercayaan yang diberikan rakyat.

“Alangkah baiknya jika pembangkang menunjukkan semangat untuk mempersoal Datuk Seri Najib Razak mengenai kelewatan pembayaran balik cukai GST ketika mereka dalam kerajaan dahulu,” katanya dalam satu kenyataan kepada MelakaKini..

Menurut Poay Tiong, sehingga April lalu, Kerajaan Persekutuan berjaya membayar hutang sebanyak RM9.5 bilion kepada pembayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, usaha itu membuktikan inisiatif yang ditunjukkan kerajaan dalam melunaskan hutang kepada pembayar GST.

“Hakikatnya, kerajaan lalu tidak melunaskan tanggungjawab ini dan telah melambatkan proses pembayaran balik, ada yang sehingga 2 tahun.

“Kegagalan dan kelewatan membayar balik cukai GST untuk tempoh yang begitu lama merupakan suatu rompakan kerana pada asasnya wang pembayar cukai telah ditahan dan diambil secara paksa, tidak kira bagaimanakah wang tersebut digunakan kemudian,” katanya.

Akibatnya, tegas beliau, lebih 120,000 syarikat dan peniaga mengalami masalah.

“Mereka menghadapi masalah aliran tunai yang serius dan ini juga merupakan salah satu sebabnya mengapa harga barangan naik ketika era GST.

“Pihak pembangkang tidak boleh berpura-pura untuk tidak memahami kesusahan yang dihadapi pembayar cukai. Sehingga hari ini, mereka masih belum mengaku atau mengambil tanggungjawab dalam masalah pembayaran balik cukai GST ini,” ujarnya.

Akta GST 2014 mewajibkan kerajaan untuk membayar balik cukai GST kepada pembayar cukai dalam masa 14 hari selepas borang berkaitan dikemukakan.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS