Piala Presiden: Melaka United nekad bangkit

Piala Presiden: Melaka United nekad bangkit

Yakin Melaka United boleh bangkit jika semua pemain beri komitmen yang tinggi

KETUA Jurulatih Bawah 21 Tahun (B-21) Melaka United, Rashid Mahmud mahu menamatkan baki sembilan perlawanan ini dengan mata penuh.

Walaupun mengetahui ia tampak sukar dilakukan, namun prestasi anak buahnya yang mula menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan memberinya kepercayaan sasaran peribadi yang diletakkannya itu mampu diraih.

B-21 MU yang berada di tangga ke-11 liga, menempuh detik sukar musim ini dan hanya mampu mengutip tujuh mata daripada 13 perlawanan.

“Ya, perkembangannya tetap ada, meskipun keputusan tidak berpihak kepada pasukan.

“Dari segi psikologi dan tanggungjawab pemain juga makin matang, jadi untuk itu saya yakin sekurang-kurangnya baki sembilan perlawanan musim ini kita mampu meraih mata penuh,” katanya ketika dihubungi.

Rashid yang sedang menjalani kursus lesen kelas A di Kuala Lumpur selama 10 hari yang akan berakhir esok turut berharap menuai hasil musim depan dan nekad memperbaiki kedudukan pasukan.

“Memang tampak sukar, kerana kita bermula dengan pasukan yang baharu apatah lagi dengan saya yang memulakan tugas sebagai pengendali sejak perlawanan keenam.

“Jika ada peluang, memang kita nak baiki kedudukan apatah lagi akan bertemu B-21 PDRM, Khamis ini, peluang itu sentiasa ada dalam setiap perlawanan, cuma tiada nasib,” katanya.

 

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka dengan Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS