PH Melaka lonjak sektor pelancongan

PH Melaka lonjak sektor pelancongan

Sektor pelancongan Melaka sasar kehadiran 20 juta pelancong tahun ini. Pelbagai promosi diadakan bagi merealisasikan sasaran tersebut..

MEMBAWA slogan ‘Melaka Berwibawa Pintar, Hijau dan Bersih’, ia merupakan misi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang memacu kelestarian di negeri ini dalam tempoh setahun.

Tidak hanya memfokuskan sektor kebajikan, ekonomi, pelaburan serta perumahan buat rakyat, malah sektor pelancongan juga menjadi agenda utama kerajaan negeri.

Namun, tempoh setahun itu masih terlalu awal untuk menilai PH melaka sama ada mampu atau tidak menerajui negeri ini.

Segala perancangan dalam tempoh itu oleh Kerajaan PH di Melaka, pelbagai inisiatif serta dasar-dasar kerajaan negeri dilaksanakan demi menjaga kemakmuran negeri serta rakyatnya.

 

ECO RIVER CRUISE TARIKAN BAHARU

Sebuah pusat pelancongan baharu akan dibangunkan di Sungai Ramuan China Besar-Paya Lebar bagi merancakkan eko-pelancongan dan ekonomi penduduk kampung tersebut.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Jailani Mohd Khamis berkata, pusat itu dijangka disiapkan dalam masa dua bulan bagi memastikan ia benar- benar dijadikan sebagai pusat pelancongan.

Katanya, perancangan itu diteruskan dengan kerjasama Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee dengan membawa cadangan tersebut ke Minit Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Dua portfolio ini akan bergabung dan bekerjasama dalam menubuhkan sebuah aktiviti pelancongan yang dikenali sebagai ‘Eco River Cruise’ yang akan dilaksanakan di bawah Enakmen Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM).

“Jika dilihat, ia bercirikan bot pelancong Melaka River Cruise (MRC), tapi kali ini kita ubah konsepnya dengan menekankan kehijauan alam sekitar berbanding MRC yang tertumpu kepada kawasan pusat bandar,” katanya.

Ujarnya, pelbagai pembangunan pelancongan dan pertanian mampu dibangunkan di kawasan itu, sekali gus merancakkan sektor pelancongan Melaka.

“Perubahan akan kita lakukan di kawasan itu dengan pembinaan beberapa kawasan mendarat (landing point) bagi bot pelancong dan ia melibatkan beberapa lokasi seperti di kawasan sabak arang yang berusia 100 tahun di sungai ini.

“Kita akan pastikan pembangunan di sini terkawal dengan tidak membenarkan mana-mana syarikat swasta mengambil alih.

“Namun ia dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri. Kita juga akan bekerjasama bersama Koperasi Kampung Paya Lebar bagi urusan operasi dan tenaga kerja,” katanya.

Sementara itu, Norhizam berkata, pembangunan lain seperti pembinaan chalet penginapan juga akan diwujudkan bagi menjanjikan pulangan terhadap ekonomi eko-pelancongan di kawasan terbabit.

Menurutnya, chalet berkonsepkan alam sekitar yang dibina berasaskan produk kayu bakau dan beberapa premis kedai akan diwujudkan di kawasan tersebut.

“Sungai ini dilihat signifikan dan perlu dibangunkan kerana kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai khususnya bagi mendapatkan hasil udang galah.

“Malah, ada yang sanggup datang bermalam di sini, tapi tiada kawasan penginapan disediakan.

“Jadi, jika kita bina penginapan dan premis jualan makanan, kraftangan dan sebagainya ia mampu membantu masyarakat kampung mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.

Katanya, Eco River Cruise itu juga akan dilengkapkan dengan kapten kapal yang bertauliah dan juga pemandu pelancong yang akan diseliakan di bawah penubuhan koperasi kampung tersebut.

 

RANCAKKAN PELANCONGAN LUAR BANDAR

Kerajaan negeri komited dalam membangunkan industri pelancogan di negeri ini yang memfokuskan produk industri pelancongan luar bandar.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perancangan itu telah direncanakan dan sedang mengenalpasti kawasan-kawasan pelancongan yang meninggalkan nilai sejarah.

“Kita sedang nilai kawasan pelancongan yang ditinggalkan, tetapi mempunyai sejarahnya.

“Seperti kita lihat di Kota Bukit Supai, Makam Tun Teja, Tasik Chinchin dan beberapa kawasan lain ini perlu dinilai kembali.

“Malah kita juga perlu fokuskan aspek eko-pelancongan yang perlu dikembangkan di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Adly turut menekankan aspek pelancongan lain yang perlu ditingkatkan di kawasan berkenaan seperti produk makanan tradisional yang menyumbang kepada industri itu.

Katanya, kesemua aspek berkenaan akan dinilai semula potensinya yang mampu menjana pendapatan penduduk setempat.

“Kita akan pastikan potensi ini mampu membawa manfaat kepada masyarakat kerana kawasan ini mampu hasilkan pelbagai nilai pelancongan melibatkan sejarah, produk baharu dan ekosistem sungai,” katanya.

 

NAFAS BAHARU PUSAT KONSERVASI & PENERANGAN PENYU

Kerajaan negeri akan memberi nafas baharu dengan menambah kemudahan chalet di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pusat konservasi itu merupakan lokasi pendaratan terbesar penyu Karah di Semenanjung Malaysia dengan keluasan sepanjang 800 meter.

Katanya, ia dilihat mampu menarik pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM19) dan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, penambahan chalet bersifat sementara itu bagi memberi pendekatan kepada pelancong untuk melihat pendaratan penyu dan mengenal habitat tersebut, sekali gus menikmati suasana alam semula jadi di kawasan berkenaan.

“Seramai 58,000 pengunjung yang datang ke pusat ini dalam tempoh tertentu dan kita akan menaik taraf beberapa kemudahan di kawasan itu bermula Jun depan.

“Perancangan bagi kebaikan dan pembangunan yang ingin dijalankan selaras dengan dasar ekosistem yang ada, bahagian promosi pelancongan akan terus bergerak kreatif serta interaktif dalam menarik pelancong,” katanya.

Tambahnya, kertas kerja bagi pembangunan tersebut sudah disiapkan bersama Jabatan Perikanan negeri.

“Diharap Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dapat segera meluluskan projek pembangunan tersebut yang dicadangkan sejak tahun lalu.

“Pihak kerajaan negeri akan terus melindungi penyu-penyu yang mendarat di situ dan pastikan habitat haiwan itu terus terpelihara,” katanya.

 

AGRESIF PROMOSI PRODUK PELANCONGAN MELAKA

Melaka mempromosi produk pelancongannya secara agresif ke peringkat antarabangsa melalui Internationale Tourismus Borse (ITB) 2019 di Berlin, German mulai 4 hingga 10 Mac lalu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Menurutnya, penglibatan Melaka di ITB 2019 bagi membina jaringan perniagaan serta mencari peluang perniagaan baharu dalam kalangan Perancang Persidangan Professional (PCOs) dan Syarikat Pengurus Destinasi (DMCs).

“Melaka turut diberikan penghormatan oleh pihak Tourism Malaysia apabila dua chef dari Melaka terpilih menyediakan makanan tradisi Malaysia di Berlin,”katanya.

Chef Khairul Anuar Madon dan Chef David dari Hotel Ramada Plaza by Windham Melaka dipilih bagi menyediakan lapan set makanan tradisi utama Malaysia pada Majlis Makan Malam ITB 2019 bagi meraikan 4,000 tetamu di City Cube, Messe Berlin.

Mengikut rekod, pada tahun 2017 Melaka mencatatkan seramai 26,885 pelancong dari German yang melancong ke Melaka dengan purata perbelanjaan seorang pelancong kira-kira RM482.20 sehari.

ITB 2019 merupakan platform perdagangan pelancongan terbesar di dunia yang mengumpulkan lebih 10,000 pempamer destinasi dari 185 negara.

Ia dihadiri lebih 170,000 pengunjung jemputan khas, 115,000 ahli perniagaan, 850 pembida, 23,000 peserta konvensyen, menteri-menteri kerajaan seluruh dunia dan media antarabangsa dengan nilai pulangan serta jualan melebihi RM6.7 bilion.

 

MENGETENGAHKAN RUMAH MUNSHI ABDULLAH

Rumah Munshi Abdullah terletak di Kampung Ketek perlu diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, rumah itu antara produk pelancongan yang kurang diketengahkan dan masih ramai pengunjung tidak tahu akan kewujudan rumah tersebut.

Katanya, walaupun rumah itu terletak berhampiran Jonker Walk, namun ia suram dan tidak mendapat perhatian masyarakat.

“Sebenarnya rumah ini betul-betul berhampiran dengan Jonker Walk, justeru Pengerusi Pelancongan perlu tingkatkan lagi maklumat di rumah tersebut.

“Dengan adanya inisiatif begitu, kita dapat memberitahu kepada umum apa sebenarnya kediaman itu mahu sampaikan,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tempat-tempat pelancongan Melaka di sekitar Melaka, baru-baru ini.

Ujarnya, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) juga perlu memainkan peranan bagi meningkatkan produk pelancongan tersebut.

“Kita mahu jadikan rumah ini sebagai satu tarikan untuk pelancong datang ke Melaka.

“Saya yakin, ramai masyarakat kenal akan sejarah Munshi Abdullah ini, tetapi ramai yang tidak tahu rumahnya di mana,” katanya.

Adly berkata, pengunjung yang datang ke Melaka punyai minat yang pelbagai termasuklah sejarah-sejarah yang ada.

“Kalau kita lihat orang yang datang ke Melaka punyai minat pelbagai, ada mahu melihat sejarah-sejarah, ada mahu berehat, ada orang yang cintakan seni dan lain-lain lagi,” katanya.

 

WUJUDKAN BOT VVIP

Bot VVIP ‘Bunga Mawar’ Melaka River Cruise mampu melonjakkan lagi industri pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, bot itu tarikan baharu Sungai Melaka digunakan bagi tujuan sewaan berpakej iaitu RM1000.00 untuk sekali sewaan.

Katanya, produk itu memberi tumpuan pada individu dan pihak swasta yang ingin mengadakan program mempunyai kelainan sendiri.

“Pakej akan disediakan dan mereka boleh pilih. Justeru, pihak berminat boleh menyewa bot ini untuk adakan program seperti majlis keraian, majlis meraikan tetamu khas dan lain-lain.

“Menariknya, dalam bot ini juga disediakan makanan dan minuman untuk tetamu serta dilengkapi hawa dingin,” katanya.

 

FESTIVAL KRAF MISI CAPAI SASARAN 20 JUTA PELANCONG

Pelaksanaan Festival Kraf Melaka merupakan inisiatif bagi mencapai misi utama Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) mempromosi negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan negeri mencapai sasaran 20 juta pelancong ke Melaka tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sentiasa bekerjasama mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang diiktiraf UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Pelbagai strategi promosi dijalankan kerajaan negeri melalui agensi- agensi kerajaan dan swasta dalam menjayakan TMM 2019.

“Pelaksanaan TMM 2019 menaikkan nama Melaka agar lebih dikenali di mata dunia sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kawasan pelancongan yang menarik,” katanya.

Ujar Adly, festival itu sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk Negeri Melaka, selain memperkukuhkan ekonomi tempatan.

“Diharap usahawan kraf tempatan khususnya usahawan kraf Melaka dapat ambil peluang ini menghasilkan lebih banyak produk kraf di pasaran.

“Kerajaan negeri akan beri sokongan dan kerjasama dalam membantu memperluas serta mewujudkan lokasi-lokasi jualan kraf di tempat tumpuan pelancong, pusat beli-belah, perhotelan dan sebagainya,” katanya.

 

BAKAL WUJUDKAN BELON UDARA PANAS

Perkhidmatan Belon Udara Panas bakal ditawarkan secara komersial di Melaka selepas syarikat Myballoon Adventure Sdn. Bhd. (MBA) berminat untuk menawarkan perkhidmatan tersebut di negeri Hang Tuah ini.

Ia dijangka akan menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati perkhidmatan Belon Panas Udara.

Perkhidmatan belon udara panas ini boleh menjadi tarikan baharu di mana para pelancong berpeluang menikmati pemandangan Negeri Melaka dari udara.

Kerajaan Negeri Melaka menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menyokong program itu dan berharap ia dapat membantu kerajaan negeri mencapai sasaran 20 juta orang pelancong ke Melaka sempena TMM 2019.

Baru-baru ini, MBA membuat penerbangan percubaan (test flight) bagi menentukan kesesuaian kawasan perkhidmatan belon udara panas demi keselamatan penumpang-penumpang.

Bermula dari Stadium Hang Jebat dan berdasarkan arah angin jam 7.00 pagi, belon ini dijangka akan terbang ke arah Klebang yang terdapat banyak kawasan lapang untuk belon mendarat dengan selamat.

Bagaimanapun, pihak MBA masih memerlukan beberapa percubaan (test flight) sebelum bersedia melancarkan produk tarikan pelancongan ini dalam waktu terdekat kepada orang ramai khasnya untuk rakyat Melaka.

Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Melaka dan pihak syarikat amat menitikberatkan keselamatan para penumpang yang bakal menggunakan perkhidmatan ini kelak.

CATEGORIES
TAGS