Petanque yakin pertahan pingat emas Sukan SEA

Petanque yakin pertahan pingat emas Sukan SEA

Misi pertahankan emas!

KUALA LUMPUR 17 Julai – Kehadiran semula dua bekas jurulatih, Syed Ali Syed Akil dan Zanilisa Mohamed dilihat bakal menjadi azimat bagi atlet petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud untuk mempertahankan pingat emasnya di Sukan SEA 2019 di Filipina nanti.

Atlet berusia 26 tahun itu yang bakal menyertai temasya sukan berkenaan kali ke-5 berkata corak latihan yang tidak tertekan menjadi antara formula dirinya dan rakan sepasukan yang lain lebih bersemangat menjalani latihan yang diadakan.

“Kami yakin mampu membawa pulang emas. Selain jurulatih, kehadiran rakan sepasukan yang lama juga menyuntik semangat kami untuk membawa pulang emas kali ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat baru-baru ini.

Atlet kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu menyerahkan keputusan tersebut kepada kebijaksanaan jurulatih dan pengurusan pasukan untuk menyertai acara pada kejohanan terbabit.

“Kami (rakan sepasukan) satu kepala. Jadi diletak di mana-mana acara pun tak kisah kerana latihan kami dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Bakal menyertai beberapa kejohanan tempatan nanti, Muhammad Hafizuddin mengakui penyertaan itu sudah cukup bagi pasukan petanque negara menghadapi Sukan SEA 2019 yang berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember depan.

“Setakat ini, hanya satu kejohanan antarabangsa yang disertai kami…awal tahun ini di Pattaya, Thailand. Keputusan agak baik dengan kami meraih perak dalam acara double. Jadi untuk menghadapi Thailand, Kemboja dan Laos di Filipina nanti, ia bukan masalah besar sebab ikut keputusan pun, kalau kalah, hanya kalah tipis,” katanya.

Muhammad Hafizuddin melakar sejarah buat sukan petanque negara apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia selepas muncul juara perseorangan lelaki dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Atlet yang berkhidmat sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu meneruskan aksi cemerlangnya dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan mempertahankan gelaran juara perseorangan apabila mengalahkan lawan dari Thailand, Kiatkong Tanong, dalam aksi final.

Pada temasya Kuala Lumpur 2017, skuad petanque negara secara keseluruhannya meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.- BERNAMA

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS