PERZIM anjur Minggu Warisan Melaka 2019 seminggu

PERZIM anjur Minggu Warisan Melaka 2019 seminggu

BANDA HILIR 14 April- Rakyat Malaysia patut berbangga dan menghargai identiti yang dipancarkan melalui budaya dan khazanah warisan yang dimiliki.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata inisiatif yang diambil oleh pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dalam menganjurkan program Minggu Warisan Melaka 2019 wajar dijadikan contoh dalam memartabatkan khazanah budaya dan warisan.

Katanya, memelihara dan mempertahankan warisan serta budaya rakyat Malaysia itu perlu supaya tidak terus dilupakan oleh generasi akan datang.

“Pada tahun ini kita sasarkan 20 juta pelancong menjelang penghujung 2019, ini kerana pada tahun lalu sejumlah 17.02 juta pelancong telah melawat Melaka.

“Melalui program ini, ia dapat melahirkan generasi masyarakat Malaysia yang mengenali serta menghargai nilai warisan yang dimiliki dan mempertahankanya di masa akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam perasmian Minggu Warisan Melaka 2019, di sini, semalam.

Katanya, pelbagai agenda telah direncanakan bagi menarik pelancong berkunjung ke muzium, antaranya pameran Warisan Melaka, demonstrasi permainan tradisional dan pelbagai lagi.

“Bertempat di hadapan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, pengunjung juga boleh menghadiri bengkel pembuatan dan penjagaan keris secara tradisi, bengkel dondang sayang serta pelajari teknik ikatan samping tradisional.

“Pelbagai demonstrasi melibatkan warisan, pertandingan mewarna, heritage fun walk, Jom redah muzium dan jejak sejarah Bukit St. Paul antara aktiviti menarik sepanjang Minggu Warisan Melaka 2019 selama lima hari bermula hari ini,” jelasnya.

Jelas Adly, para pengunjung akan membawa pulang seribu satu kemanisan dan pengalaman yang tidak akan diperolehi di mana-mana.

CATEGORIES