Perpaduan tunjang keamanan negara

Perpaduan tunjang keamanan negara

Bayangkan negara kita membangun tanpa perpaduan? Huru-hara beb...

PERPADUAN… membaca perkataaan ini sahaja sudah pasti membuatkan kita tergambar mengenai kehidupan aman, damai dan harmoni tanpa sebarang gangguan, peperangan, perpecahan budaya dan kaum dalam sesebuah negara itu.

Tanpanya, keretakan dan kerenggangan dalam sesebuah masyarakat itu akan wujud sehingga menjurus kepada perpecahan rakyat.

Kerana itu, perpaduan menjadi faktor atau tidak salah disebut sebagai tunjang kepada keamanan tanah tumpah darah kita, Malaysia mahupun negara-negara lain.

Seperti yang pernah dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perpaduan dicapai akan menjamin kestabilan seluruh rakyat.

Justeru, kita sentiasa diingatkan supaya mengekalkan semangat perpaduan demi pembangunan negara dan kesejahteraan bersama.

“Kestabilan, keharmonian perpaduan dikecapi membawa kepada kehidupan rakyat bersatu-padu, erat dan sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi bagi menjana kekayaan untuk kita kongsi bersama.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada kehancuran yang dialami oleh negara-negara luar akibat perpecahan hingga berlaku konflik dan peperangan,” kata beliau.

Terdahulu, kenyataan tersebut dibacakan semasa beliau menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan 16 September lalu.

Menurut Tun M, apabila sesuatu kehancuran dalam perpaduan itu berlaku, ia sukar untuk diperbaiki dan kadang-kala melangkaui satu generasi.

“Walaupun wujud cubaan daripada pihak tertentu yang mahu melemahkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini tetapi, kita perlu berjiwa besar, yakin dan terus berfikiran waras supaya tidak dipengaruhi.

“Naratif digunakan berkait dengan emosi khususnya berkaitan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik dan kita jangan mudah terperangkap dengan isu-isu ini,” kata beliau.

Sambutan Hari Malaysia 2019 yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ turut mengambarkan betapa pentingnya rakyat supaya mengasihi dan mencintai negara ini.

 

SEDAR TANGGUNGJAWAB

Dalam pada itu, sebagai rakyat Malaysia kita harus sedar tanggungjawab dipikul terhadap negara, khususnya bagi mempertahankan perpaduan dibina demi kesenangan serta keselesaan telah dinikmati.

Ujar Tun M, rakyat harus menghargai jasa dan pengorbanan dilalui mereka yang berjuang mewujudkan negara ini lebih lima dekad.

“Jika mereka sedar dan hargai apa dilakukan pejuang terdahulu, pasti perpaduan dan kerjasama antara rakyat tidak dipandang ringan.

“Malah, kita akan terus bangkit serta pertahankan perpaduan terbina dari anasir yang mahu menggugatnya,” kata beliau.

Bagi beliau, tanggungjawab mempertahankan perpaduan tidak boleh diletakkan kepada kerajaaan semata-mata.

“Ia adalah tanggungjawab semua yang mengakui diri sebagai rakyat Malaysia.

“Walaupun semangat perpaduan mengalami pasang surut bergantung kepada keadaan dan suasana, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat kita untuk kekalkannya,” kata beliau.

Beliau yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud sekali gus akan terus bersama mempertahankan perpaduan terjalin.

Setiap rakyat harus mengetahui betapa pentingnya perpaduan dalam negara ini demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES