PERMATA UTeM dekati anak yatim

PERMATA UTeM dekati anak yatim

Usaha baik dedah Mahasiswa dekatkan diri dengan golongan kurang bernasib baik.

DURIAN TUNGGAL 24 April – Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengadakan Program Bakti Siswa bersama anak-anak yatim, baru-baru ini.

Program itu diadakan di Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM), Sungai Udang, Melaka.

Pengarah Program, Nur Nabilla Mazlan berkata, program tersebut bagi mendekatkan diri mahasiswa UTeM dengan anak-anak yatim di PAYASUM.

“Ia dapat memupuk hubungan silaturahim selain menerapkan rasa simpati, kasih sayang serta membina jati diri dalam diri setiap mahasiswa.

“Program ini berjaya menerap nilai kerohanian serta pendedahan mengenai peranan dan tanggungjawab pelajar sebagai ketua dalam memimpin sesuatu perkara,” katanya.

Program itu melibatkan seramai 27 fasilitator yang merupakan ahli PERMATA UTeM serta pelajar PAYASUM yang berumur lapan hingga 17 tahun.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Lembaga PAYASUM, Abdul Halim Sulaiman; Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Prof Dr. Wan Hasrulnizzam Wan Mahmood.

CATEGORIES
TAGS