Perluas rangkaian fiber di Melaka

Perluas rangkaian fiber di Melaka

Untung orang Melaka...

MELAKA 12 Sept – Kerajaan negeri sedaya upaya mengurangkan julat dan perbezaan dalam kalangan pengguna jalur lebar di bandar dan luar bandar.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee berkata, inisatif dijalankan termasuk dengan menjalankan usahasama dengan syarikat komunikasi yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

Menurutnya, terbaharu anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Allo Technology Sdn. Bhd. turut meluaskan rangkaian jalur lebar gentian optik menerusi kerjasama bersama PDG Development Sdn. Bhd.

“Pendekatan tersebut rentetan daripada projek rintis National Fiberisation Connectivity Plan (NFCP) dilancarkan awal tahun lalu di Jasin Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Perkhidmatan Jalur Lebar Taman Ozana Residen dan Perindustrian Ayer Keroh Melaka antara Allo Technology Sdn. Bhd. bersama PDG Development Sdn. Bhd. di Pejabat TNB Banda Kaba, di sini, tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Allo Technology Sdn. Bhd., Rozi Ahmad, Pengarah Urusan PDG Property Sdn. Bhd., Datuk Seri Gwee Yew Kiat dan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ir Ahmad Rezahan.

Ujar Chee Yee, Taman Ozana Residen dan Zon Perindustrian Ayer Keroh merangkumi sebahagian daripada 16,000 penyambungan jalur lebar gentian optik diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini.

“Kira-kira 2,000 pengguna di kawasan ini akan mendapat manfaat internet berkelajuan tinggi dan kita akan melaksanakan ia dari semasa ke semasa supaya rakyat di luar bandar juga akan mendapat kebaikkan.

“Hasrat kerajaan untuk meningkatkan akses internet ini juga sangat penting kerana ia membantu memudahkan urusan rakyat sama ada untuk membuat kerja ataupun bagi tujuan peribadi,” katanya.

Sementara Ahmad Rezahan berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memainkan peranan penting merealisasikan MOU terbabit.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada TNB menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan terkini termasuk fasiliti pintar lain yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat di negeri ini.

“Kita jangka lebih ramai pemain industri pembangunan di Melaka menyertai peluang dan tawaran TNB membantu kerajaan negeri menyediakan prasarana terbaik kepada rakyat di sini,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS