Perluas pengetahuan kepentingan hutan

Perluas pengetahuan kepentingan hutan

Penting tau jaga diversiti alam sekitar. Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi?...

JASIN 8 Mei – Usaha meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai hutan diperluas menerusi Program Lestari Hijau @ Tiny Forest.

Program anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk bersama Siswa Siswi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberikan pengalaman baharu kepada peserta menerokai alam semula jadi.

Guru Besar SK Air Baruk, Nizam Aziz berkata, inisatif tersebut diharap dapat membantu mereka supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Ia merupakan salah satu aktiviti di bawah Program Forest School yang mengaplikasikan pembelajaran di luar bilik darjah.

“Kita mahu pelajar terlibat belajar menerusi pengalaman luar bilik darjah secara positif sekali gus merangsang minda dan memupuk sifat motivasi,” katanya kepada MelakaKini.

Jelas Nizam, antara aktiviti dilaksanakan seperti melawat kawasan hutan dan menanam pokok.

“Selain berpeluang mendedahkan diri kepada persekitaran semula jadi, pelbagai manfaat lain diperolehi.

“Menariknya, mereka dapat mengenali alam lebih dekat berkaitan nama-nama flora dan fauna jarang dikenali generasi kini,” katanya.

SK Air Baruk merupakan sekolah perintis menjayakan program ini di Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Green Growth Asia Foundation.

Tambahnya, penganjurkan tersebut sebagai usaha menyokong hasrat dan merealisasikan misi Kerajaan Negeri mencapai kelestarian alam sekitar.

CATEGORIES
TAGS