Categories: NASIONAL

Perincian taburan geografi kes Covid-19 diperlukan – Ahli Akademik

KUALA LUMPUR 18 Mac — Kerajaan disaran memperincikan taburan geografi kes COVID-19 kepada orang awam mengikut pemetaan Geographical Information System (GIS) supaya rakyat lebih memahami penularan kes itu mengikut kawasan geografi.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata langkah ini sekaligus dapat membantu penjarakkan sosial yang cekap.

“Satu tabulasi (taburan) secara terperinci kluster kes terkini dengan menyatakan lokasi secara spesifik amat perlu sebagai rujukan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Di samping memuji dan menyokong langkah itu, beliau berkata ketika ini negara berdepan dengan fasa kritikal yang memerlukan perkongsian maklumat terperinci lokasi kluster bagi meningkatkan keberkesanan arahan kawalan pergerakan.

“Sekiranya maklumat itu didedahkan, orang ramai akan lebih peka terhadap tempat atau premis yang perlu dielak daripada dilawati, sekaligus dapat mengurangkan penularan COVID-19,” katanya.

Noor Nirwandy dalam pada itu turut menitikberatkan tanggungjawab masyarakat yang perlu memastikan keselamatan negara daripada ancaman COVID-19.

“Masyarakat harus memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi arahan kerajaan serta membuktikan kesamaan dalam menghadapi keadaan kritikal buat negara bagi memastikan COVID-19 dikawal sepenuhnya,” katanya.

Senada dengan beliau, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama sepenuhnya dan cuba mengelak daripada mengingkari perintah berkenaan.

Apa yang penting adalah untuk memastikan semua rakyat patuh dengan arahan ini dan kerajaan perlu menguat kuasakannya sebaik mungkin.

“Rakyat tidak perlu cemas dan terburu-buru kerana semua perkhidmatan penting masih lagi beroperasi. Sokongan perlu diberikan kepada semua kakitangan perkhidmatan kritikal khususnya staf kesihatan dan pihak keselamatan.

“Penuhi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah selain perlu bersabar dalam menempuhi tempoh ini dengan tabah,” katanya.

Mohammad Fuad berkata keputusan yang diambil kerajaan adalah satu langkah yang bijak dan tepat pada masanya demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, dalam masa yang sama, kerajaan perlulah memastikan semua perkhidmatan krikital dan bekalan makanan serta ubat-ubatan mencukupi dan sampai kepada rakyat.

“Penerangan berkala perlu diberikan untuk meredakan keresahan rakyat. Malaysia mempunyai jentera perkhidmatan yang mencukupi untuk menghentikan wabak ini dengan efektif,” katanya.

— BERNAMA

Roshidi Abu Samah

Leave a Comment
Share
Published by
Roshidi Abu Samah

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago