Perikanan Melaka nafi stok kupang berkurangan

Perikanan Melaka nafi stok kupang berkurangan

Buktinya terdapat projek penternakan kupang di Kuala Sebatu dan Pernu, Umbai.. Fuh lega dengau..

AYER KEROH 9 Okt. – Jabatan Perikanan Negeri Melaka menafikan dakwaan bekalan kupang di negeri ini semakin berkurangan seperti yang dilaporkan MelakaKini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Johari Tim berkata dakwaan tersebut tidak tepat memandangkan projek penternakan kupang negeri ini sudah kembali rancak berjalan seperti yang ada di Kuala Sebatu dan Pernu, Umbai.

Jelasnya, di Kuala Sebatu sahaja terdapat 35 panggar kupang yang berbentuk seakan-akan kelong atau rumah rakit digunakan untuk menternak kupang dan dibekalkan kepada peniaga dan pengusaha rangkaian medan ikan bakar negeri ini.

“Jika ada masa, bolehlah melawat ke perairan Sebatu atau Pernu yang menjadi tempat pembiakan kupang terbesar di negeri ini. Ada 35 panggar di kawasan itu dan mungkin mereka boleh dapat gambaran lebih jelas.

“Kalau ada yang kata terpaksa beli di Johor dan sebagainya, bagi saya itu bergantung kepada peniaga sendiri. Mungkin mereka boleh dapat harga lebih murah di sana.

“Tetapi di Melaka, harganya adalah sekitar RM6-RM8 sekilogram bergantung pada saiz yang mana bagi saya harga ini masih berpatutan memandangkan kupang di Melaka pernah disifatkan sebagai antara yang paling berkualiti dan isinya yang manis,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang peniaga di Pantai Siring turut menafikan dakwaan stok kupang di negeri ini semakin berkurangan.

Zulkepli Abu Basar, 25 berkata gerainya sehingga kini belum pernah putus menerima bekalan berpuluh-puluh kilogram (kg) kupang dari Kuala Sebatu.

Jelasnya, stok kupang tidak menjadi masalah memandangkan terdapat banyak penternak moluska bercengkerang ini di Sebatu termasuk dari kalangan ahli keluarganya sendiri.

“Memang hari-hari akan ada stok kupang dijual di gerai saya. Kebiasaannya hari biasa saya mendapatkan bekalan sebanyak 30kg dan apabila hujung minggu saya menjual 50kg kupang di gerai ini dan juga kepada pengusaha medan ikan bakar sekitar.

“Nak kata stok putus? Memang tak pernah. Di Sebatu, ada banyak panggar kupang di tengah laut yang boleh menghasilkan bertan-tan kupang setiap kali tuaian.

“Oleh sebab itu, kami sentiasa ada bekalan dan harga yang kami jual juga tidak berubah iaitu RM8 sekilogram sejak dahulu lagi,” katanya.

 

Artikel Berikaitan

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES