Perbanyakkan aktiviti di surau

Perbanyakkan aktiviti di surau

Setuju.....banyak aktiviti yang boleh diimarahkan. Tapi paling penting, penuhkan saf dulu..

BERTAM 10 Mei – Jawatankuasa Surau Nur Iman Taman Bertam Jaya komited melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menggiatkan penggunaan surau itu dalam kalangan penduduk setempat.

Pengerusinya, Alias Mohd Noor berkata, usaha dijalankan termasuk mengadakan program ceramah bulanan dan sambutan ambang Ramadan.

Menurutnya, penganjuran program itu diharap dapat menarik lebih ramai umat Islam di kawasan itu bersama-sama menyertai aktiviti agama khususnya pada bulan mulia ini.

“Pihak kami sentiasa mengatur pelbagai aktiviti dalam memastikan surau ini terus dikunjungi umat Islam bukan sekdar untuk menunaikan ibadah solat sahaja.

“Saya juga sangat berterima kasih kepada jemaah dan jawatan kuasa surau ini kerana sentiasa memberikan respon baik bagi setiap aktiviti dijalankan,” katanya kepada MelakaKini.

Tambah Alias, semua ahli jawatan kuasa surau tersebut digalakkan mengatur apa-apa aktiviti bermanfaat.

“Selain merancakkan aktiviti di surau, ia menjadi platform menyatukan dan mengeratkan hubungan sesama umat Islam di sini,” katanya.

Antara aktiviti dilaksanakan termasuk kelas sirah Nabi SAW setiap malam Isnin, kelas bacaan Al-Quran dan tajwid setiap malam Selasa, kelas fekah atau tauhid setiap Rabu dan kuliah subuh.

Pada setiap hari Khamis malam jumaat juga, turut diadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat selain kelas tafsir Al-Quran.

Dalam pada itu lebih 300 jemaah menghadiri program ceramah bulanan dan sambutan ambang Ramadan yang diadakan di surau tersebut baru-baru ini.

Mengambil tajuk ‘Ramadan Membentuk Keluarga Sakinah’ program itu dianjurkan bahagian Undang-Undang Kekeluargaan Islam Melaka Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama jawatan kuasa Surau Nur Iman.

Turut diadakan ceramah dari personaliti dakwah tempatan, Ustazah Asmah Harun yang menekankan betapa besarnya hikmah serta ganjaran pahala puasa dalam bulan Ramadan.

CATEGORIES
TAGS