Categories: MELAKARENCANA

Perancangan bandar bersepadu di Melaka

ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

MELAKA adalah sebuah bandar raya yang sedang pesat membangun dan sedang mengalami transisi ke abad 21.

Populasinya meningkat sebanyak 40% dalam tempoh 15 tahun lalu dengan jumlah populasi seramai 902,881 penduduk dicatatkan pada 2015.

Menurut kajian Rancangan Struktur Negeri Melaka 2018 (RSNM), jumlah populasi ini akan terus meningkat sebanyak 70% dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pertambahan penduduk ini juga menyebabkan peratusan penghijrahan penduduk untuk mencari pekerjaan dari luar bandar ke bandar meningkat dari 43% pada 2000 kepada 92% pada 2014 menurut bancian terakhir yang dilakukan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan pesat penduduk ini mendorong permintaan untuk pembangunan bandar-bandar baharu, penambahbaikan perkhidmatan yang lebih baik dan pembinaan infrastuktur baru bagi menyokong pertumbuhan ini.

Prestasi ekonomi Melaka sepanjang 10 tahun lalu adalah memberangsangkan.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 6.65%.

Melaka mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.1 peratus pada 2017, yang kedua tertinggi di Malaysia.

Kemajuan dalam mengurangkan kadar kemiskinan juga adalah baik dengan perkadaran isi rumah yang hidup dalam paras kemiskinan menurun kepada kadar kurang daripada 2%.

Satu kemajuan yang dianggap tinggi di aras global.

Pada masa hadapan matlamat Melaka adalah untuk berubah daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi sambil memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

Melaka juga mempunyai visi menjadi bandar hijau yang memberi tumpuan untuk menangani perubahan iklim dalam agenda pertumbuhan hijaunya.

Melaka juga mempunyai potensi yang cukup untuk menjadikannya sebagai sebuah bandar utama dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan, logistik, pengedaran, pelancongan, industri pengetahuan, perniagaan dan kewangan.

Sejak dari dahulu Melaka sememangnya mempunyai kelebihan geografi yang strategik kerana terletak di tengah-tengah laluan antara Kuala Lumpur dan Singapura serta kedudukannya yang tidak jauh dari Dumai, Indonesia.

Jika projek infrastruktur pengangkutan bernilai tinggi seperti Laluan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Bas Rapid Transit (BRT), Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan penambahbaikan Lapangan Terbang Antarbangsa Batu Berendam dapat dilaksanakan di Melaka dengan jayanya, ia akan membolehkan negeri ini menjadi hub yang berintegrasi (integrated hub) kepada sistem pengangkutan yang lebih efektif dan efisien di kawasan zon selatan Asia Tenggara seterusnya menyumbang kepada kelestarian ekonomi negeri.

Jika kedudukan ini dapat dicapai, ia akan merangsang industri baru seperti pengurusan kewangan, pengetahuan dan pelbagai perkhidmatan dan industri lain bernilai tinggi untuk dibangunkan di negeri ini selari dengan kedudukannya sebagai hub pengangkutan zon ekonomi Kuala Lumpur–Singapura –Indonesia.

Melaka juga mesti mewujudkan ekosistem yang memudahkan aliran pengetahuan yang merangsang terpupuknya inovasi.

Ekosistem perniagaan di Melaka mesti dibentuk untuk menjadikannya sebagai pusat produktiviti dan pembangunan modal insan supaya ia boleh akses kepada peluang pasaran antarabangsa yang lebih besar pada masa hadapan.

Bagi merealisasikan cita-cita ini, beberapa kajian dilakukan oleh pelbagai pihak untuk Melaka.

Contohnya kajian yang dilakukan Global Platform for Sustainable Cities, World Bank 2019 (GPSC), penemuan-penemuan yang dilaporkan dalam RSNM, kajian-kajian yang dilakukan institusi-institusi kajian tempatan telah mencadangkan supaya Melaka melakukan perkara-perkara berikut bagi melaksanakan perancangan bandar yang bersepadu:-

*Merangka pembangunan bandar yang efisien

Merangka dan membangunkan bandar-bandar di Melaka supaya ia menjadi efisien pada masa hadapan adalah sangat penting bagi negeri ini.

Efisien dalam erti kata bahawa perancangan pembangunannya mengoptimumkan penggunaan tanah, dengan pembangunan yang bercampur (mix development) yang fleksibel menurut peraturan penggunaan tanah.

Memberikan insentif ke arah pembangunan semula bagi meningkatkan kepadatan pembangunan tanah, mengintegrasikan pembangunan dengan kawasan berhampiran dengan pusat bandar dengan nisbah plot yang tinggi dengan pelbagai jenis dan corak pembangunan.

Antara contoh yang boleh dijadikan panduan ialah pembangunan tanah di Singapura.

Strategi utama republik itu adalah untuk mengoptimumkan pembangunan tanah melalui proses perancangan bersepadu dengan strategi dan matlamat jangka panjang diterjemahkan ke dalam pelan jangka pendek yang terperinci untuk panduan pembangunan pada masa hadapan.

Singapura menempatkan semula kawasan-kawasan yang menjadi pelengkap kepada aktiviti ekonominya (complementary economic activities) untuk kemudahan warganya dengan memaksimumkan penggunaan ruang.

Nisbah Keluasan Ruang (Floor Area Ratios) ditetapkan berdasarkan kegunaan dan aksesibilitinya.
Nisbah yang tinggi adalah di kawasan pusat bandar dan berkurangan di kawasan sub-bandar dan seterusnya di kawasan perumahan.

*Pembangunan yang tertumpu dan bukan berselerak

Selama lebih 10 tahun lalu, Melaka berkembang dengan kepadatan yang lebih rendah berbanding kebanyakan bandar lain sepertinya di Asia.

Rancangan Struktur Negeri Melaka 2035 membayangkan perlunya peruntukan pembangunan tanah yang berlebihan untuk dibangunkan bagi meliputi seluruh Melaka.

Cadangan ini boleh melibatkan risiko struktur bandar yang tidak cekap, terpisah-pisah, kehilangan pemusatan ekonomi, kenaikan kos infrastruktur dan kerosakan alam sekitar yang akhirnya boleh membawa kepada peningkatan pengeluaran karbon dioksida dan peningkatan penggunaan tenaga.

Melaka perlu membangun dengan cara yang lebih efisien supaya ia boleh berdaya saing dan membangunkan ekonominya supaya kekal mampan.

Melaka boleh meningkatkan kecekapan ekonomi menerusi pemusatan aktiviti ekonominya, menambahkan peluang pekerjaan, menyediakan perkhidmatan yang baik kepada penduduk dan meningkatkan ruang rekreasi yang menarik bagi menjana keselesaan dan keceriaan hidup rakyatnya tanpa membebankan kewangan awam dengan kos infrastruktur yang berlebihan.

Penyediaan tanah berlebihan untuk pembangunan dan pelaburan yang tidak mencukupi dalam pengangkutan awam boleh mengakibatkan pemisahan, kesesakan lalu lintas dan produktiviti ekonomi yang rendah pada masa hadapan.

*Perancangan yang bersepadu dan seimbang

Mengguna pakai pendekatan bersepadu terhadap penggunaan tanah dan perancangan bandar dengan menyeimbangkan di antarakeadaan geografi dan sektor ekonomi sesuatu bandar adalah penting untuk pembangunan bandar yang teratur dan mampan.

Memandangkan Melaka mahu menjadi sebuah bandar pintar pada masa hadapan maka perancangan bandar yang bersepadu memainkan peranan utama untuk pemacu kecekapan untuk pertumbuhan ekonominya.

Melaka perlu menyelaraskan strategi dan pelan tindakan yang komprehensif bagi kawasan pembandaran untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan keselesaan persekitaran kehidupannya.

Keadaan ini boleh mengukuhkan keupayaannya untuk menjadi pusat inovasi dan pembangunan ekonomi yang kukuh serta tempat yang boleh menarik ramai orang, perniagaan dan pekerjaan untuk beroperasi di Melaka dan menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan ekonomi jangka panjang.

Penggunaan teknologi seperti analisis data raya (big data analysis) dan menggalakkan penjanaan serta penggunaan dasar sumber terbuka (open source policy) di kalangan agensi kerajaan negeri dan industri adalah perlu supaya lebih banyak inovasi dan maklumat diperlukan untuk membantu menyelesaikan masalah terutama berhubung pembangunan dan pengawalan bandar akan dapat dilakukan pada masa hadapan.

Melaka juga perlu merancang dan mengkoordinasi kawasan pembangunan yang padat dan kompak bagi meningkatkan nilai tanahnya di lokasi-lokasi yang strategik.

Situasi ini boleh digunakan untuk membantunya membiayai infrastruktur pengangkutan awam, penambahbaikan kepada masyarakat dan membina perumahan mampu milik untuk rakyat pada masa hadapan.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

3 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

5 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

5 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

5 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

5 months ago