Penternak ikan keli mengaku cemarkan sungai

DIN AHMAD

MASJID TANAH 18 Feb. – Ketiadaan sistem pengairan dan saliran sempurna untuk pelepasan air dari kolam ternakan ikan keli ke sungai mengakibatkan ribuan ikan dalam Sungai Baru dan beberapa anak sungai mati, selain menyebabkan bau busuk di kawasan berhampiran sungai itu di pekan ini, Ahad lalu.

Itulah rumusan yang diperoleh Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati ketika melakukan pemeriksaan mengejut di kolam penternakan ikan keli milik seorang lelaki berusia 50-an di Kampung Pulau Semut, di sini hari ini.

Pemeriksaan itu menyebabkan lelaki terbabit bukan setakat terkejut dengan kehadiran mereka dan pegawai bahagian penguat kuasa pejabat berkenaan, malah memohon maaf atas tindakannya melepaskan air ke sungai.

Pemilik kolam itu bagaimanapun memberikan kerjasama kepada Rahizi dan Mas Ermieyati ketika pemeriksaan selama kira-kira satu setengah jam itu.

Ketika memberikan penjelasan kepada Rahizi dan Mas Ermieyati, pemilik kira-kira 20 kolam ikan keli di kawasan seluas 9.77 hektar (24 ekar) itu berkali-kali memohon maaf atas tindakannya yang dipercayai dilakukan minggu lalu.

Ia dipercayai menyebabkan ribuan ikan mati di Sungai Baru dan beberapa anak sungai di bahagian hilir yang turut mengakibatkan bau busuk.

Lelaki itu menjelaskan, dia terpaksa melepaskan air berikutan musim kemarau yang menyebabkan air kolam berubah menjadi hitam dan perlu digantikan dengan air baru.

Sehubungan itu, Rahizi dan Mas Ermieyati menasihatinya supaya membina sistem pengairan dan saliran sempurna bagi memastikan air kolam yang dilepaskan ke sungai tidak menyebabkan pencemaran, sekali gus memastikan pekan Masjid Tanah kira-kira tiga kilometer dari kolam itu tidak dicemari bau busuk.

Ketika ditemui selepas pemeriksaan itu, Rahizi berkata, tanah berkenaan diwarisi lelaki terbabit daripada bapanya yang sudah mengusahakan kolam itu sejak kira-kira 20 tahun lalu.

“Dari aspek penggunaan tanah, kami tidak dapat mengambil tindakan kerana ia adalah tanah pertanian tetapi kami sudah mencadangkan kepada Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Melaka supaya mengambil tindakan selepas pegawai mereka mengambil contoh air di ladang dan sungai kelmarin,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Pulau Semut mendakwa, bapa lelaki terbabit mengusahakan dusun durian di tanah berkenaan tetapi diubah kepada kolam ternakan ikan keli oleh anaknya.

Semua pekerja di kolam berkenaan adalah pekerja asing dan kawasan sekitar kolam berkenaan tidak berani dihampiri penduduk kampung kerana ia dikatakan dikawal berpuluh ekor anjing, katanya.

Sementara itu, pegawai BKSA yang dihubungi mengesahkan telah mengambil contoh air sungai dan kolam berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut manakala Pengarahnya, Faizah Abdul Rahman gagal dihubungi.

Dalam kejadian kelmarin, beribu ikan mati dalam sungai berkenaan hingga menyebabkan netizen media sosial menggesa agensi bertanggungjawab mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran itu.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 year ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago