Pengenalan tulisan khat sesuatu yang wajar – Prof. Teo Kok Seong

Pengenalan tulisan khat sesuatu yang wajar – Prof. Teo Kok Seong

Kerukunan mesti ada sikap sokong-menyokong antara satu sama lain..

AYER KEROH, 8 Ogos – Langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat sebagai antara kandungan subjek Bahasa Melayu murid Tahun Empat termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) mulai tahun depan adalah suatu yang wajar.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong berkata ini kerana Bahasa Melayu mempunyai dua sistem tulisan yang telah lama wujud iaitu tulisan rumi dan juga tulisan jawi.

“Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa di dalam dunia yang mempunyai dua sistem tulisan yang efisien.

“Jawi juga merupakan tulisan warisan dan tulisan khat yang bakal diperkenalkan yang melibatkan waktu pengajaran dan pembelajaran yang sedikit sahaja,” katanya di program Bicara Eksekutif Keselamatan Negara, Kemakmuran Bersama anjuran bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka dan Institut Tun Perak (ITP) di Auditorium Seri Negeri di sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka ACP Beh Eng Lai turut menyertai program itu sebagai ahli panel kedua manakala Ketua Pegawai Eksekutif ITP Zaipul Anwar Zainu sebagai moderator.

Prof. Teo menjelaskan khat adalah istilah Arab yang bermaksud kaligrafi iaitu tulisan yang cantik dan mempunyai nilai seni.

Beliau berkata penentangan terbuka oleh pihak tertentu terhadap usaha untuk memperkenalkan tulisan khat adalah manifestasi tebalnya defisit kepercayaan antara komuniti pelbagai kaum di negara ini.

Prof Teo berkata walaupun secara zahirnya rakyat pelbagai kaum di Malaysia tampak hidup dalam suasana harmoni dan bersatu-padu namun tiada kerukunan yang wujud sebenarnya di kalangan mereka.

“Tiada kerukunan di sini maksudnya tiada sikap sokong-menyokong antara kaum. Melayu tidak menyokong Cina manakala Cina dan India tidak menyokong Melayu.

“Kerukunan mesti ada sikap sokong-menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Prof Teo berkata Bahasa Melayu telah gagal untuk menyatu-padukan masyarakat dan isu yang timbul berkaitan tulisan khat adalah manifestasi bahawa rakyat Malaysia masih berpecah.

Sementara itu Kementerian Pendidikan di dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pengenalan tulisan khat dalam Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tahun 4 pada tahun hadapan adalah hasil pengkonsepsian Kurikulum Sekolah Rendah pada tahun 2014.

Menurut kenyataan itu, ia juga telah melalui pemetaan kurikulum merangkumi pembinaan kurikulum Tahap 1 pada 2015 dan pembinaan kurikulum Tahap 2 pada 2016-2017.

“Ini bermakna, penggubalan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DKSP) melibatkan pengenalan tulisan khat ini telah mengambil masa sejak tahun 2014 lagi.

“Usaha ini juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan serta kajian rintis di sekolah-sekolah terpilih,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan juga menegaskan pengenalan tulisan khat tidak akan membebankan guru dan murid kerana ia tidak akan diuji dalam peperiksaan serta tiada pentaksiran.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES