Penerbangan Melaka-PP beri impak besar kepada ekonomi Melaka

Penerbangan Melaka-PP beri impak besar kepada ekonomi Melaka

Nama Melaka terus gah sebagai destinasi pelancongan tersohor di negara ini dan antarabangsa...

Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini.

JAM 2.25 petang, 1 Julai – adalah detik bersejarah apabila pesawat milik syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia), AK6284 melakukan pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

Saat bersejarah itu disaksikan sendiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bersama sebahagian rakyat Melaka yang selama ini menantikan syarikat penerbangan terkemuka itu beroperasi di Melaka.

Mengikut rekod, pesawat Airbus 320 AirAsia pernah melakukan pendaratan percubaan pada Jun 2012.

Kemampuan mendarat itu, sekali gus membuktikan LTAM mampu menguruskan semua jenis pesawat untuk mendarat.

Dilihat dari sudut yang lebih jauh, pengoperasian syarikat penerbangan itu di Melaka bukan sekadar melengkapkan bilangan syarikat seumpamanya di LTAM.

Ia lebih daripada itu.

SASARAN 20 JUTA PELANCONG

Usaha membawa syarikat terbabit beroperasi di LTAM adalah manifestasi kesungguhan kerajaan negeri merancakkan sektor pelancongan.

Ia sekali gus menunjukkan sasaran 20 juta pelancong ke Melaka pada tahun ini bukan sekadar `sembang kedai kopi.’

Berbanding negeri lain, Pulau Pinang atau lebih mudah disebut Penang, mempunyai kelebihan tersendiri bagi negeri Melaka.

Kenapa Melaka perlu dihubungkan dengan Pulau Pinang? Apa pentingnya Pulau Pinang kepada Melaka?

Dari segi latar belakang sejarah, kedua-dua negeri memang mempunyai banyak persamaan.

Pernah dikategorikan sebagai Negeri-Negeri Selat bersama Singapura ketika era penjajahan British dahulu, maka tidak hairanlah jika banyak kesan sejarah ditemukan di kedua-dua negeri berkenaan.

Pernah juga dikenali sebagai pelabuhan utama di rantau Asia Tenggara lantaran kedudukannya yang strategik di Selat Melaka.

Jika Melaka terkenal dengan masakan asam pedas, Pulau Pinang pula lebih dikenali dengan nasi kandarnya.

Itu antara keunikan yang ada di dua negeri pelancongan terbabit.

Jadi tepatlah perancangan Kerajaan Melaka dan AirAsia yang menghubungkan kedua-dua negeri berkenaan yang ternyata mampu memberi impak kepada sektor pelancongan negeri dan perniagaan syarikat penerbangan tersebut.

Hasilnya dapat disaksikan menerusi penerbangan sulung Pulau Pinang – Melaka yang menyaksikan kumpulan pertama seramai 174 pelancong dari Pulau Mutiara itu menjejakkan kaki di bumi Hang Tuah ini.

Mengikut jadual, AirAsia melakukan penerbangan tujuh kali sehari yang bermula jam 1.20 petang setiap hari.

Dengan kadar tambang hanya RM79 bagi satu laluan, ia sejajar dengan tagline AirAsia, “Now everyone can fly.”

AirAsia : Laluan baharu ke Pulau Pinang kini dibuka

PERBINCANGAN BERMULA TAHUN LALU

Adly yang ditemui selepas menyaksikan penerbangan sulung itu memberitahu, perbincangan mengenai laluan Melaka-Pulau Pinang telah dimulakan tahun lalu.

“AirAsia memerlukan penumpang dan penerbangan dan kita pula memerlukan pelancong, sudah pasti kerjasama ini memberikan fokus baru,” katanya.

Pastinya, kajian yang komprehensif dilakukan sebelum penerbangan sulung itu direalisasikan.

Kelebihan yang dimiliki Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebagai pintu masuk pelancong asing ke Pulau Pinang dapat memberi manfaat kepada Melaka, bukan sahaja dalam aspek pelancongan, malah sektor ekonomi dan perindustrian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat pula, Melaka adalah destinasi domestik keenam AirAsia dan laluan ke-14 dari hab Pulau Pinang.

Pembukaan laluan baharu itu berjaya memendekkan tempoh perjalanan kepada hanya 20 minit berbanding enam atau tujuh jam mengikut laluan darat.

“Melaka adalah salah satu tarikan selain Pulau Pinang, negeri ini memliki nilai warisan. Negeri ini ada potensi, ia destinasi untuk Melaka dan itu yang kita mahu sumbangkan,” kata Riad.

Natijah daripada pengoperasian AirAsia di LTAM, Melaka sebenarnya telah berada setapak lagi ke hadapan dalam kerancakannya memacu ekonomi.

Sejajar dengan gagasan `Melaka Berwibawa,’ kejayaan membawa masuk syarikat penerbangan tambah rendah itu ke LTAM membuktikan kewibawaan kerajaan negeri pimpinan Adly meyakinkan syarikat berjenama besar untuk melabur di negeri ini.

CATEGORIES
TAGS