Penerbangan charter Jakarta-Melaka-China inisiatif ‘menang-menang’ Melaka dan Jakarta

Penerbangan charter Jakarta-Melaka-China inisiatif ‘menang-menang’ Melaka dan Jakarta

Selepas ni, LTAM akan sibuk dengan kebanjiran pelancong...

PENERBANGAN sewa khas Jakarta-Melaka-China dan sebaliknya yang dijangka bermula pada tahun depan merupakan satu inisiatif ‘menang-menang’ bagi Negeri Melaka dan Daerah Khusus Ibukota Jakarta.

Penerbangan yang bakal dikendalikan Batik Air, dahulunya dikenali sebagai Malindo Air, berpotensi menarik 300,000 pelancong China setahun ke kedua-dua wilayah berkenaan sekiranya mendapat kelulusan Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Ketua Menteri Adly Zahari dilaporkan berkata 300,000 pelancong China tersebut mewakili pelbagai segmen termasuk kelompok yang cenderung untuk melawat lokasi kepulauan dan gunung berapi seperti yang ada di Indonesia selain tempat-tempat bersejarah seperti yang ditawarkan Melaka.

Beliau berkata satu pakej pelancongan yang boleh menarik minat pelancong-pelancong tersebut ke Melaka dan Jakarta boleh dirangkumkan bagi mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

Bagi membuktikan Melaka serius untuk merealisasikan rancangan tersebut, Adly baru-baru ini mengumumkan persetujuan kerajaan negeri mewujudkan satu jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hasan bagi perbincangan lanjut dengan pihak Jakarta.

BERI IMPAK EKONOMI KEPADA MELAKA DAN RAKYATNYA

Penerbangan sewa khas tersebut, jika menjadi kenyataan, dijangka akan menarik ketibaan pelancong China yang berminat dengan tempat-tempat bersejarah ke Melaka.

Walaupun tiada angka rasmi jumlah pelancong yang mewakili segmen pelancong tersebut, kedatangan mereka ke sini kelak sudah pasti akan menjana pendapatan untuk negeri dan rakyatnya khususnya golongan peniaga.

Secara perkiraan mudah, sekiranya Melaka berjaya menarik 30 peratus daripada jumlah pelancong China tersebut bermakna 90,000 daripada mereka akan berkunjung ke negeri ini pada tahun depan.

Dengan andaian setiap seorang pelancong berbelanja RM100 ketika berada di sini, Melaka dan rakyatnya berpeluang menjana pendapatan RM9 juta pada tahun depan hanya melalui inisiatif penerbangan sewa khas itu kalau berjaya direalisasikan.

MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN PERUBATAN DI MELAKA

Berdasarkan data ketibaan pelancong ke Melaka sejak beberapa tahun lalu, pelancong China merupakan pengunjung terbesar ke Melaka manakala rakyat Indonesia yang ke tiga paling ramai melancong ke sini.

Penerbangan sewa khas Jakarta-Melaka-China merupakan peluang untuk empat hospital swasta di Melaka memperluas pasaran mereka dengan menarik lebih ramai pelancong perubatan khususnya dari China.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Low Chee Leong sebelum ini dilaporkan berkata lebih 90 peratus daripada keseluruhan pesakit luar negara yang mendapatkan rawatan di hospital swasta di negeri itu adalah dari Indonesia berdasarkan rekod terkini.

Beliau melahirkan harapan sektor pelancongan kesihatan di Melaka tidak hanya memfokuskan pada pelancong Indonesia sebaliknya memperluas pasaran sedia dengan menarik kedatangan pelancong perubatan dari negara-negara lain termasuk Thailand, China, Taiwan dan Hong Kong untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

“Ia kerana kita melihat industri pelancongan kesihatan di Melaka mempunyai potensi yang cukup besar bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa,” katanya seperti dilaporkan media.

Empat hospital swasta di sini iaitu Hospital Pakar Putra, Pusat Perubatan Mahkota, Hospital Pantai Ayer Keroh dan Pusat Perubatan Oriental Melaka seharusnya menyambut saranan tersebut dengan membuat persiapan awal untuk mengambil peluang daripada inisiatif penerbangan sewa khas itu.

MERANCAKKAN AKTIVITI DI LTAM

Selain memacu industri pelancongan perubatan di Melaka dan memberi impak ekonomi kepada rakyat serta negeri, penerbangan sewa khas Jakarta-Melaka-China juga membantu merancakkan aktiviti di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini yang suatu ketika dahulu sepi.

Walaupun kekerapan penerbangan sewa khas tersebut belum diputuskan, potensi 300,000 pelancong China setahun yang ditawarkan sudah pasti akan memerlukan jumlah penerbangan yang banyak bagi menampung permintaan pasaran tersebut.

Adly sendiri optimis bahawa inisiatif itu mampu menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia dan China ke Malaysia amnya dan Melaka khasnya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Dengan AirAsia Berhad (AirAsia) turut dilaporkan berhasrat menawarkan lebih banyak laluan baru menerusi LTAM dalam tempoh beberapa bulan akan datang selain penerbangan harian menghubungkan Pulau Pinang dan Melaka, persepsi bahawa LTAM sebuah ‘projek gajah putih’ juga tidak lagi terpakai.

CATEGORIES
TAGS