Penerbangan Antarabangsa Melaka-Jakarta-China dijangka beroperasi awal tahun hadapan

Penerbangan Antarabangsa Melaka-Jakarta-China dijangka beroperasi awal tahun hadapan

Menarik, penerbangan Melaka-Indonesia-China...

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari

BANDARAYA MELAKA 23 Okt. – Laluan penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) ke Jakarta, Indonesia dan China bakal beroperasi awal tahun hadapan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan Indonesia telah bersetuju dengan perancangan terbabit sekali gus memberi manfaat besar di antara Melaka-Indonesia.

Jelasnya, pada kunjung hormat kerajaan negeri ke negara republik itu baru-baru ini, Gabenor Jakarta, H. Anies Rasyid Baswedan dan wakil Gabenor Surabaya, Dr. H. Emil Elistianto Dardak telah memberi maklum balas positif berhubung perancangan tersebut.

“Kedua kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan itu dengan menarik syarikat penerbangan swasta untuk beroperasi di LTAM.

“Jalinan ini membawa pelbagai manfaat diantara kedua negara khususnya di dalam sektor pelancongan kesihatan di Melaka.

“Kerajaan negeri akan menyelaraskan perlaksanaan ini dan kita akan pastikan ia akan menjadi kenyataan pada awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Tapak Bazar Deepavali di Little India, Jalan Bendahara di sini semalam.

Tambah Adly, melalui kunjungan itu pelbagai perbincangan telah diadakan sepanjang pertemuan terbabit.

Jelasnya, hasil perbincangan terbabit, Kerajaan Indonesia juga berminat untuk melabur ke negeri ini melalui sektor kesihatan, pendidikan dan program Malaysia My Second Home (MMSH).

“Di Melaka, kita punyai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan ini akan menjadi sebuah platform kepada kita untuk dijadikan peluang di dalam sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS